Home Rasuah Busters 'Corak pemilihan calon perlu diubah'

'Corak pemilihan calon perlu diubah'

0
'Corak pemilihan calon perlu diubah'
Sabariah

SHAH ALAM – Rakyat perlu ubah corak pemilihan calon pilihan raya dengan menilai mereka berdasarkan aspek kewibawaan, integriti dan kompeten untuk menerajui negara.

Setiausaha Agung Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO), Dr Sabariah Baharun berkata, rakyat tidak boleh lagi memilih calon berdasarkan kepartian, sebaliknya perlu melihat kepada tiga aspek tersebut.

“Setiap individu perlu faham mengundi itu dilihat dari segi aspek adakah calon yang diundi itu adalah mereka yang mempunyai ciri-ciri tersebut.

“Kalau dilihat dari segi ekonomi, pembangunan dan masalah rakyat, perkara itu berada pada tahap yang meruncing.

“Jadi, maknanya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, saya rasakan perlu untuk kita betul-betul pilih pemimpin,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, faktor jantina juga tidak sepatutnya dijadikan halangan kepada rakyat dalam memilih pemimpin yang berkualiti.

Sekiranya calon itu layak diangkat sebagai pemimpin, maka mereka wajar dikedepankan sama ada lelaki atau wanita.

“Kita melihat ramai wanita-wanita yang layak memimpin tetapi mereka tidak diberikan tempat. Malah kalau dilihat dalam bentuk pelaksanaan akar umbi atau menggerakkan sesuatu program dalam parti itu, kebanyakannya wanita tetapi mereka tidak dikedepankan,” ujarnya.

Sabariah yang juga Naib Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) berkata, penolakan unsur-unsur rasuah dan korupsi juga perlu dielakkan dengan memilih calon yang berintegriti dan amanah.

“Jadi saya memang sokong kempen Sinar Rasuah Busters iaitu 1 Jari Bebas Rasuah sebab kalau kita lihat rasuah telah membebankan rakyat kita sekarang ini.

“Rasuah juga yang menjadikan negara kita sekarang ini berkecamuk dari segi pergolakan pimpinan, perebutan kuasa dan salah guna kuasa. Jadi itu antara perkara yang perlu kita lihat,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here