Home Rasuah Busters Contohi ketegasan Hamid Bador

Contohi ketegasan Hamid Bador

0
Contohi ketegasan Hamid Bador

SHAH ALAM – Ketua-ketua jabatan dan semua pihak dalam peringkat penguatkuasaan perlu menjadikan tindakan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai contoh dalam usaha memerangi rasuah.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, mereka perlu tegas dan lantang bersuara terhadap semua perkara yang menjurus kepada ketidakadilan dan korupsi.

“Seluruh rakyat mesti bangun, bangkit dan menolak rasuah tanpa syarat. Ketua-ketua jabatan dan sebagainya kena ambil contoh apa yang bekas KPN itu buat.

“Kalau kita relakan, penyakit rasuah ini akan menjadi lebih parah. Jika tidak dibendung akan memiskinkan negara serta melaratkan rakyat.

“Jadi kita tak nak anak cucu dan masa depan negara melarat. Kita yang ada kebolehan sekarang harus sama-sama bangkit untuk menolak rasuah serta isytihar secara terbuka yang kita benci rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Hussamuddin yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters berkata, kondisi kegiatan rasuah di negara ini semakin parah apabila ia semakin menular ke semua peringkat.

“Bagi saya rasuah dan salah guna kuasa ini sudah begitu berleluasa di Malaysia. Sudah jadi satu budaya. Sepanjang 50 tahun terakhir ini, kita tengok ‘figure’ (pemimpin) kerajaan bertukar, nampaknya perangai (mereka) lebih kurang sama.

“Yang sedihnya penyakit ini sudah menular daripada (peringkat) atas ke bawah. Maknanya sekarang semua peringkat itu ramai yang terlibat dengan rasuah termasuk dalam korporat, keagamaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa sistem nilai dalam agama perlu dijadikan panduan untuk menjauhi budaya rasuah.

“Dalam konteks negara berbilang kaum, kita kena mengambil sistem nilai. Sebagai orang Islam, saya pertahankan Islam itu agama yang betul, tetapi sebagai menghormati agama-agama lain dan setiap agama itu, mereka ada nilai-nilai murni yang diajar agama masing-masing.

“Orang Islam pergi kepada al-Quran dan sunnah, orang Kristian pergi kepada kitab Injil, orang Hindu atau Buddha pergi kepada kitab suci masing-masing. Mereka juga faham kitab suci masing-masing.

“Rasuah ini adalah masalah semua kaum dan bangsa. Jadi mereka semua perlu kembali kepada sistem nilai dan jadikan panduan kehidupan mereka,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here