Home Rasuah Busters Campur tangan MAINPP dipertikai

Campur tangan MAINPP dipertikai

0
Campur tangan MAINPP dipertikai
Zikrullah
Antara ahli kariah salah sebuah masjid yang membantah pemilihan ahli jawatankuasa baharu.

SHAH ALAM – Rasuah Busters Pulau Pinang mempertikaikan ‘campur tangan’ atau penglibatan pihak tertentu dalam proses pemilihan ahli jawatankuasa di beberapa buah masjid di negeri itu.

Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Pulau Pinang, Zikrullah Ismail berkata, isu tersebut begitu hangat pada masa ini apabila ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang dipilih oleh ahli kariah menerusi sistem pemilihan secara demokrasi telah ditolak oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Katanya, tindakan MAINPP menolak senarai nama ahli jawatankuasa tertentu di sekurang-kurangnya 12 buah masjid yang dipilih secara sah oleh ahli kariah dan digantikan dengan senarai yang ditentukan oleh majlis agama tersebut dilihat telah bercanggah dengan amalan pemilihan secara demokrasi, sekali gus menimbulkan pertikaian besar dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, persoalan timbul dalam kalangan masyarakat apabila penggantian nama dibuat MAINPP itu tidak menjelaskan secara terperinci kenapa pemilihan ahli jawatankuasa yang dimahukan oleh ahli kariah telah ditolak bagi memegang jawatan setelah menang secara sah.

“Ahli kariah di sesebuah masjid pastinya mengetahui secara lebih tepat siapakah yang perlu diangkat sebagai pentadbir atau ahli jawatankuasa masjid berdasarkan kemampuan, kebolehan, kerajinan berada di rumah ALLAH dan siapakah yang mudah untuk berurusan dengan masyarakat setempat.

“Tetapi apabila kumpulan ahli jawatankuasa yang dipilih ahli kariah ditolak dan digantikan dengan orang yang tidak sewajarnya oleh MAINPP, ia menimbulkan rasa tidak puas hati dan pertikaian dalam kalangan ahli kariah.

“Bukan sahaja amalan demokrasi memilih secara telus yang dilakukan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang turut dihadiri oleh wakil MAINPP seakan sudah tidak lagi mahu diguna pakai, tindakan majlis agama juga seakan menafikan hak ahli kariah masjid setempat yang mahukan individu selayaknya memegang jawatan,” katanya kepada kru Rasuah Busters.

Sistem demokrasi

**media[2039243]**

Mengulas lanjut, Zikrullah berkata, sistem pemilihan secara demokrasi oleh ahli kariah yang layak seharusnya diambil kira dan dipersetujui oleh MAINPP, sebaliknya majlis agama itu menggunakan klausa tertentu di dalam Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Qaryah dan Pegawai Masjid (Negeri Pulau Pinang) 1997, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993 bagi menafikan individu dipilih ahli kariah sebagai pentadbir masjid.

Jelasnya, bukan sahaja tidak menjelaskan secara terperinci kenapa ditolak pemimpin yang telah dipilih oleh ahli kariah secara demokrasi, tindakan yang diambil oleh MAINPP itu dilihat seakan ada campur tangan pihak ketiga.

Ini kerana katanya, wakil MAINPP yang hadir semasa proses pemilihan ahli jawatankuasa masjid pada sesi AGM telah meluluskan pemilihan calon dan tidak melarang mana-mana individu untuk bertanding secara sah kerana tidak terdapat sebarang kesalahan.

Namun begitu menurutnya, setelah mencatat kemenangan dan dipilih secara sah oleh ahli kariah berdaftar, individu-individu daripada sekurang-kurangnya 12 buah masjid tersebut telah dinafikan jawatannya dan digantikan dengan nama-nama tertentu yang telah dicadangkan oleh MAINPP.

“Sekiranya isu umur dipersoalkan, kenapa dari awal sesi pemilihan individu ini tidak dibangkitkan oleh wakil MAINPP yang hadir pada sesi pemilihan?,” soalnya.

Ekoran daripada rasa tidak puas hati tersebut, menurutnya, ada ahli jawatankuasa di beberapa buah masjid telah meletakkan jawatan secara beramai-ramai kerana memprotes isu yang berlaku ekoran ketidakadilan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here