Home Rasuah Busters Buli siber: Pempengaruh media sosial perlu main peranan

Buli siber: Pempengaruh media sosial perlu main peranan

0
Buli siber: Pempengaruh media sosial perlu main peranan
Cikgu Zack Kirana

SHAH ALAM – Pempengaruh media sosial disaran menggunakan platform masing-masing bagi mengetengahkan kandungan yang memberi kesedaran tentang buli siber.

Guru selebriti, Cikgu Zack Kirana berkata, ini kerana penting untuk masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi dalam isu buli siber agar tidak terus menjadi mangsa.

“Pempengaruh yang rasa bertanggungjawab kepada nusa dan bangsa, saya harap kita boleh ketengahkan kandungan yang kita akan sampaikan di media sosial sekarang ini dalam bentuk kesedaran buli siber.

“Kerana kita takkan pernah tahu apa perasaan duduk di tempat mangsa, tak tau apa sejarahnya. Hidup ini ibarat roda, kita juga tidak pernah tahu had kesihatan mental kita,” katanya ketika menjadi panelis Program Kompas Rasuah Busters yang membincangkan topik 'Buli siber jadi barah' disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Program dikendalikan oleh Zaim Zaini itu turut menampilkan peguam, Muhammad Amin Abdullah serta pengarah dan pelakon, Khir Rahman.

Zack Kirana yang juga pempengaruh media sosial berkata, beliau sendiri mengambil keputusan untuk membuat laporan berhubung kontroversi yang melanda baru-baru ini susulan tindakannya menegur kesilapan istilah dalam penggunaan lirik lagu popular.

Katanya, tindakan individu-individu tertentu yang membuat serangan peribadi terhadapnya boleh dianggap sebagai satu bentuk buli siber.

“Saya bukan sentap, tapi saya nak menunjukkan bahawa negara kita ada undang-undang. Saya tidak mahu perkara ini (buli siber) menjadi budaya kepada anak-anak murid saya yang cenderung menjadi pembuli disebabkan tak ramai yang laporkan kes-kes buli seperti ini,” katanya.

Pada masa sama beliau juga menyifatkan penulisan di media sosial juga melambangkan tahap pemikiran dan adab seseorang.

“Berhati-hati ketika menulis kerana itu menunjukkan tahap pemikiran kita. Tinggi manakah pemikiran dan adab kita. Tapi satu perkara saya percaya, ada pendidikan tinggi tidak menjamin kita ini beradab,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here