SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat pegawai kerajaan dan pimpinan terdahulu di negeri Pahang sekiranya terlibat serta melindungi aktiviti pencerobohan tanah terutamanya di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, beliau yakin terdapat ‘tangan ghaib’ yang ‘menghalalkan’ pembukaan kebun-kebun durian secara haram di situ dulu.
Bekas anggota tentera itu mendakwa, kebun-kebun durian sudah lama wujud di kawasan Raub kerana beliau pernah bertugas di Pahang pada zaman darurat.
“Siapa yang patut dipersalahkan sekarang? Lihat semula beberapa tahun yang lepas. Jika tiada orang yang membenarkan mereka membuka ladang mustahil mereka berani. Jadi siapa yang harus dipersalahkan. Adakah pihak yang membuka ladang atau yang membenarkannya?
“Cuba siasat semula pihak pentadbiran di daerah dan kawasan terlibat. Mesti ada orang yang memberikan kebenaran. Carilah balik siapa dia,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Khamis.
Mohamed Arshad turut mempersoalkan mengapa bekas-bekas menteri besar Pahang mendiamkan diri berhubung isu tersebut.
Katanya, pekebun-pekebun terlibat tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya dan patut diberikan keadilan sewajarnya.
“Kalau mereka tidak mendapat kebenaran pasti tindakan itu tidak akan dilakukan. Pada pendapat saya, mereka ini teraniaya.
“Mereka sudah menanam pokok durian bertahun-tahun, kemudian dihalau keluar. Mana boleh begitu kerana kita perlu bersikap adil,” katanya.
Beliau berkata, SPRM perlu segera menyiasat punca permasalahan tersebut dan mengenal pasti dalang terlibat.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Untuk Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4 Center), Cynthia Gabriel menggesa SPRM mendedahkan status siasatan kes itu yang dilakukan sejak hampir setahun lalu.
Beliau juga mahu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberikan penjelasan lanjut mengenai tindakan memusnahkan kebun durian terbabit.
“Adakah mereka betul-betul haram dan tiada hak asasi sedangkan mereka telah lama meneroka tanah tersebut?
“Dalam tempoh pandemik ini pekebun berasa tertekan dan tindakan memusnahkan kebun durian ini memang menunjukkan salah guna kuasa,” katanya.