SHAH ALAM – Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa dan Penyelidikan Untuk Kelestarian (IDRIS) berpendapat bahawa perjalanan Malaysia menuju kepada sifar rasuah bergantung kepada rakyatnya itu sendiri.
Pengerusinya, Datuk Mohd Nizam Mahshar berkata, sekiranya rakyat berani melakukan perubahan dengan menolak rasuah secara terang-terangan, maka Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dan berdaya saing.
“Bagi saya, perjalanan Malaysia menuju negara sifar rasuah ini bergantung kepada usaha rakyat. Adakah mereka berani untuk melakukan perubahan dengan mengatakan ‘tidak kepada rasuah’.
“Bila rakyat berbuat demikian, maka saya percaya kita dapat menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan maju pada masa akan datang,” katanya pada program Kompas Rasuah Busters ‘On The Go’ bertajuk ‘Rasuah: Mak Kata Jangan, Hawau!’ yang bersiaran di Facebook Sinar Harian pada Ahad.
Program yang dimoderatorkan oleh Masruddin Rahmat itu turut menampilkan Pemangku Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Mohd Nizam Mohd Isa sebagai panel jemputan.
Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang berpotensi berikutan mempunyai individu yang hebat terutama dalam perniagaan.
Namun, beliau beliau berkata, disebabkan amalan rasuah itu menjadi satu budaya, maka ia mengetepikan potensi yang ada dalam masyarakat tersebut.
“Sebagai contoh, bila adanya sesuatu tender atau projek pembangunan, kita pilih bukan kerana orang itu layak ataupun bagus tetapi rasuah.
“Justeru, rasuah ini sebenarnya telah memberikan ruang dan peluang kepada individu yang tidak berniat baik. Yang menghendakkan kehancuran, malah mengambil keuntungan di atas hak orang lain,” katanya.