Home Rasuah Busters Bersihkan politik negara daripada rasuah

Bersihkan politik negara daripada rasuah

0
Bersihkan politik negara daripada rasuah

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara perlu diletakkan di bawah Parlimen bagi memastikan keadilan dalam pentadbiran negara.

Ketua Gabungan Anti Rasuah Nasional (GARAS), Dr Maimunah Sargeant ketika menyarankan demikian berkata, langkah itu dapat memastikan kedua-dua institusi itu berfungsi secara bebas tanpa terikat dengan mana-mana pihak berkepentingan baik kerajaan atau politik.

“Jika SPRM dan Jabatan Peguam Negara diletakkan di bawah Parlimen, tiada ahli politik dapat campur tangan dan kita dapat bersihkan politik negara daripada rasuah,” tegas beliau yang turut kesal sikap terlalu mengejar kekayaan dan kedudukan mendorong ahli politik terjebak dengan rasuah.

Mengulas mengenai enam tuntutan utama Rasuah Busters menerusi gerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah yang perlu dilaksanakan kerajaan dan pemimpin politik bagi memerangi korupsi serta penyelewengan, beliau berkata, ia perlu segera dilaksanakan bagi membersihkan Malaysia dari rasuah.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin pula berkata, rasuah telah mengancam demokrasi yang dituntut di dalam Perlembagaan Malaysia.

“Kebebasan institusi perlu dalam kita mengekalkan kedaulatan undang-undang yang menjadi dasar pentadbiran dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Gagalnya institusi SPRM dan Jabatan Peguam Negara bertindak secara bebas bererti ketelusan nilai integriti negara ini tergugat,” tegas Nurhayati.

Beliau berkata, kegagalan melaksanakan keadilan melalui institusi yang bebas akan menyebabkan kemampuan negara melindungi hak rakyat menjadi lemah dan jenayah akan lebih berleluasa serta perkembangan ekonomi terbantut.

“Ini pasti akan meletakkan negara dan rakyat kepada risiko yang amat tinggi dan tidak mampu ditebus lagi,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here