Home Rasuah Busters Beri SPRM kuasa mendakwa tanpa rujuk AGC

Beri SPRM kuasa mendakwa tanpa rujuk AGC

0
Beri SPRM kuasa mendakwa tanpa rujuk AGC
Mohd Ghazali (kiri) mengadakan sesi walk about di Kampung Paya Jaras Hilir, pada Isnin.

SUNGAI BULOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi kuasa membuat pendakwaan sendiri berkaitan kes yang disiasat tanpa perlu mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Sungai Buloh, Mohd Ghazali Md Hamin berkata, langkah ini dapat memastikan segala kes rasuah dapat dituduh secara terus menerusi siasatan terperinci SPRM.

Katanya, ia juga bagi mengelak kes tertangguh lama kerana gagal mendapat keizinan untuk proses pendakwaan daripada AGC.

Saya mencadangkan supaya SPRM menjadi badan bebas tanpa dikawal mana-mana pihak bagi memastikan agensi itu dapat menjalankan tugas sebaik mungkin.

“Selain SPRM, Parlimen, badan kehakiman dan agensi penguatkuasaan awam lain juga seharusnya diberi lebih kebebasan melaksanakan tugas masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengadakan sesi walkabout di Kampung Paya Jaras Hilir di sini pada Isnin.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan agensi yang mempunyai kaitan dengan orang awam itu dapat melaksanakan tugas tanpa dipengaruhi pihak tertentu.

“SPRM contohnya perlu diberi lebih kebebasan tanpa sebarang campur tangan termasuk politik serta bebas daripada kawalan mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri.

“Perkara ini sebenarnya sudah lama dibangkitkan oleh masyarakat dan ia berpunca daripada kuasa terhad dimiliki SPRM yang boleh melakukan siasatan dan kemudian mencadang pertuduhan kepada AGC.

“SPRM harus diberikan kuasa yang lebih besar. Jika berada di bawah kuasa Parlimen, SPRM boleh mendapat mandat secara terus dan laporkan perkembangan kes yang besar kepada Parlimen dan boleh buat pendakwaan sendiri,” kata beliau.

Dalam pada itu, Mohd Ghazali juga bersedia menduduki ujian Rasuah Busters Tag (RBTag) sebagai membuktikan kesungguhannya memerangi rasuah dan mengangkat nilai integriti.

“Saya sebagai calon menentang sekeras-kerasnya budaya rasuah yang bukan sahaja merosakkan negara malah ia ditentang oleh mana-mana agama sekalipun,” katanya.

Tambahnya lagi, bukan setakat pemimpin malah rakyat perlu menolak budaya ini yang boleh menghancurkan diri dan kesannya akan wujud ketidakadilan, hak yang dinafi yang menjadikan masyarakat kucar kacir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here