KUALA LUMPUR – Usaha memerangi salah guna kuasa terutama amalan rasuah seharusnya diperhebatkan di peringkat anak muda atau belia supaya perasaan benci yang mendalam terhadap perbuatan salah itu dapat ditanam sejak awal usia.
Pengurus Besar MyKampus Radio (MKR), Praba Ganesan berkata, suatu kerugian besar sekiranya golongan bakal pemimpin pada masa hadapan itu tidak diberi tumpuan untuk menyedarkan mereka tentang bahana rasuah yang bukan sahaja memusnahkan diri malah merosakkan negara.
Menurutnya, pelbagai usaha melibatkan pelbagai pihak perlu dipergiatkan bagi menyedarkan anak muda supaya tidak sesekali terjebak dengan amalan rasuah atau mengintai peluang melakukan jenayah kolar putih itu.
Untuk itu katanya, peluang bekerjasama dengan dengan pihak Rasuah Busters yang giat membasmi amalan rasuah dan salah guna kuasa merupakan satu kesempatan yang harus dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terutama anak muda dan belia.
“Sebagai semua saluran radio multiplatform yang sememangnya dekat dengan anak muda, MKR berbesar hati untuk bekerjasama dengan pasukan Rasuah Busters memberi kesedaran dan memupuk budaya antirasuah dalam diri remaja.
**media[1907667]**
“Menerusi pelbagai platform yang ada, MKR mampu memberi jangkauan kepada rakyat terutama anak muda dengan baik tentang rasa benci mendalam terhadap budaya rasuah serta salah guna kuasa yang akan memusnahkan diri dan negara.
“Usaha yang dilaksanakan oleh pasukan Rasuah Busters adalah satu tanggungjawab penting terhadap negara dan ia perlu disokong oleh semua pihak bagi menjayakannya,” katanya kepada kru Rasuah Busters ketika ditemui dalam program ‘Bersama2050 Edisi Kedua’ anjuran MKR di Berjaya Times Square.
Dalam majlis tersebut, pasukan Rasuah Busters telah diberi kesempatan menganjurkan Kafe Rasuah Busters yang menampilkan pelawak tersohor negara, Lan Pet Pet. Hadir sama Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Azliana Wan Adnan.
Mengulas program ‘Bersama2050 Edisi Kedua’, Praba berkata, sebagai sebuah pameran rakyat marhain yang bermula 29 Ogos sehingga 18 September ini, kesempatan itu digunakan oleh anak muda untuk meluah dan menyampaikan pendapat terhadap tanah air tercinta menerusi hasil seni.
Menurutnya, selain berjaya membuat lontaran idea terbaik dalam bentuk lukisan, fotografi dan video terhadap negara di dalam pertandingan yang dianjurkan oleh MKR, kumpulan anak muda juga berpeluang berimaginasi tentang sebuah negara yang diinginkan pada masa hadapan.
“Bersama2050 Edisi Kedua merupakan kesinambungan daripada penganjuran edisi pertama yang telah dilaksanakan pada tahun lalu.
“Program ini membuka peluang kepada anak muda dan belia untuk berimaginasi tentang sebuah negara yang diinginkan menerusi bakat seni yang dimiliki, selain menonjolkan kelebihan di dalam bidang muzik menerusi acara busking,” katanya.
Bercakap mengenai MKR, Praba berkata, radio multiplatform dalam talian itu telah dibentuk sejak 2016 dan kebanyakan petugas merupakan pelajar lepasan Politeknik dan kolej vokasional yang rata-ratanya berusia bawah 25 tahun.
Katanya, MKR merupakan ‘batu loncatan’ kepada graduan memulakan langkah di dalam sektor penyiaran, sebelum melangkah lebih jauh di dalam bidang kerjaya diinginkan.
“Di sini mereka diberi pendedahan dan dibentuk untuk menjadi kumpulan pelapis terbaik kepada dunia penyiaran, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang berinovasi tinggi,” katanya.