Barisan kabinet yang berkaliber, kompeten dan bersih amat penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur. (Gambar kecil: Muhammad Mohan, Hussain Yusri).
SHAH ALAM – Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berpendapat barisan kabinet yang berkaliber, kompeten dan bersih amat penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur.
Justeru katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memastikan barisan menteri dibarisi oleh mereka yang benar-benar berkelayakan, berkredibiliti dan tidak terpalit dengan skandal rasuah.
Jelasnya, sudah tiba masanya Malaysia mempunyai menteri yang memiliki kriteria berkenaan dalam memacu negara ke arah lebih unggul.
Oleh kerana ini kerajaan perpaduan, pelantikan sebagai menteri dalam kabinet harus dibincang dengan pucuk pimpinan parti. Tetapi sesiapa yang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri perlu ada kelayakan dan kebolehan untuk membuat kerja.
“Pucuk pimpinan setiap parti harus sedar perkara ini sebelum mencadangkan nama-nama kepada Perdana Menteri,” katanya kepada Rasuah Busters pada Ahad.
Dalam pada itu, menurut penganalisis politik daripada Universiti Sultan Zainal Abidin, (UniSZA) Dr Hussain Yusri Zawawi, menjadi harapan rakyat untuk negara memiliki pemimpin yang benar-benar menguasai ilmu dalam bidang berkelayakan sebelum dilantik menjadi menteri.
“Tapisan pemimpin perlu dilakukan dengan sebaik mungkin dengan melihat petunjuk prestasi utama (KPI) dan idea baru yang ditunjukkan sebelum ini ke arah pemerkasaan pentadbiran yang berkesan.
“Kegagalan mencalonkan pimpinan politik berkelayakan memberi impak yang besar kepada kabinet Anwar seperti 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan,” katanya.
Tambahnya, pemilihan pemimpin ke dalam kabinet Anwar sepatutnya dibuat dengan penilaian yang betul tanpa campur tangan politik dan kepentingan tertentu.
“Pentadbiran negara memerlukan pemimpin yang boleh menguruskan negara dengan lebih berkesan dan efektif agar kelemahan sebelum ini dapat di tambah baik serta berstrategik,” katanya.
Anwar pada Jumaat memberitahu beliau mengambil pendekatan tidak tergesa-gesa dalam memuktamadkan senarai kabinet bagi mengelak lantikan tertentu atas tujuan memberi ‘ganjaran’ berlebihan.
Sebelum ini, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, memaklumkan kerajaan yang diterajuinya akan memiliki saiz kabinet yang lebih kecil serta mengusulkan supaya gaji menteri berkenaan nanti dikurangkan susulan perkembangan situasi ekonomi kini.