Home Rasuah Busters Anak muda miliki iltizam jadi pemimpin berintegriti

Anak muda miliki iltizam jadi pemimpin berintegriti

0
Anak muda miliki iltizam jadi pemimpin berintegriti

BATU PAHAT – Anak muda layak memimpin negara berdasarkan ilmu dan mentaliti progresif yang ada pada golongan tersebut untuk membangun dan mentadbir negara.

Pengasas bersama Undi 18, Tharma Pilai berkata, realiti masa kini menyaksikan ramai anak muda berupaya menjadi pemimpin yang baik berdasarkan kebolehan dan kelebihan yang ada pada diri masing-masing.

Menurutnya, kebolehan mengadaptasi pelbagai maklumat penting dari seluruh dunia dengan baik menjadikan mereka sebagai golongan berpengetahuan luas dan cakna dengan situasi semasa.

Malah beliau berkata, generasi muda dilihat lebih agresif untuk berkhidmat kepada rakyat, selain mempunyai tahap pendirian tinggi memajukan masyarakat.

“Realitinya sudah sangat berbeza. Anak muda mempunyai iltizam tinggi menjadi pemimpin yang bersih dan berintegriti.

“Golongan ini bersemangat menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat, isu perumahan anak muda serta perkara melibatkan isu alam sekitar.

“Malah golongan muda yang bakal menjadi pemimpin negara perlu mengambil inisiatif memperbaiki sistem pentadbiran negara dan menolak budaya rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel Kompas On The Go sempena Konvoi #RasuahBusters ke seluruh negeri Johor yang bakal berlangsung sehingga 12 Mac ini.

Bersama moderator Rosdi Amir, Tharma membicarakan tajuk ‘Senator Anak Muda, Bersediakah?’ di Kompleks Niaga Parit Raja dekat sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Tharma berkata, anak muda yang bakal bergelar pemimpin negara berupaya bertindak menjadi kumpulan yang membuat semak imbang terhadap perancangan kerajaan.

“Bukan sahaja perlu membentuk sistem pentadbiran negara yang tidak jauh daripada rakyat, pemimpin anak muda harus mendengar segala luahan hati rakyat di peringkat bawah.

“Golongan anak muda mempunyai suara dan kuasa yang besar dalam menentukan hala tuju negara,” katanya.

Menafikan persepsi anak muda tidak mampu memimpin, Tharma menegaskan, sistem pilihan raya secara demokrasi membolehkan orang ramai menilai seseorang calon yang bertanding.

Katanya, meskipun calon tersebut muda dan masih mentah, namun sekiranya berkebolehan, bijak serta memiliki integriti, tidak salah individu itu dipilih.

“Inilah indahnya sistem demokrasi negara. Siapa yang dirasakan layak, mereka akan dipilih berdasarkan kelebihan yang dimiliki.

“Begitu juga dengan calon anak muda. Mereka yang layak akan dipilih. Ini adalah satu bentuk sistem politik yang sihat.

“Undi 18 juga berusaha membuat pindaan terhadap akta sedia ada untuk menurunkan had umur menjadi Senator kepada 18 tahun, berbanding 30 tahun yang ada pada masa sekarang,” katanya.

Menjelaskan mengenai Undi 18, Tharma berkata, mereka bukan partisan atau parti politik, sebaliknya adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membawa suara anak muda serta membantu kepimpinan generasi muda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here