SHAH ALAM – ALLAH SWT sudah menciptakan langit dan bumi dengan sempurna, tetapi disebabkan ada tangan manusia yang rakus dan mementingkan diri sendiri, ia telah memusnahkannya.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhas (WUI), Fazrul Ismail berkata, di dalam al-Quran itu sendiri, ALLAH SWT sudah mencipta alam dengan sempurna terutama dari segi ekosistem, pengurusan dan juga peraturan.
“Jadi, ALLAH SWT nak perkenalkan kepada kita (umat Islam) bahawa dia sudah menjaga dengan cantik ekosistem yang ada.
“Tetapi disebabkan orang ada orang pentingkan diri sendiri, puncak kepada mementingkan diri sendiri inilah yang akan menjadi seseorang itu syirik,” katanya pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rasuah, Hutan dan Banjir’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian mengulas tentang kejadian yang berlaku ketika ini iaitu banjir, pembalakan dan rasuah, malah ia mempunyai kaitan dengan amaran yang sudah sedia ada di dalam al-Quran.
Program yang dimoderatorkan Nurhayati Nordin itu turut menampilkan Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Yusaimi Md Yusof sebagai panel jemputan.
Mengulas lanjut, Fazrul berkata, alam sememangnya sudah harmoni, tetapi manusia yang gagal melakukannya.
Justeru, beliau berpendapat, manusia perlu diubah mengikut keharmonian alam.
“Dalam Surah al-Imran ayat 110, ada tiga kaedah untuk menjadi umat terbaik. Pertamanya, menyuruh (berbuat) yang makruf, mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada ALLAH.
“Jadi, bila kita ada tiga perkara ini, maka kita akan menjadi umat yang harmoni dengan alam dan alam pun akan bagi air berkadaran, bukannya melimpah sehingga membanjiri kereta-kereta yang ada,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, makruf itu sememangnya cukup jelas menunjukkan sebuah integriti yang tinggi sepertimana yang dididik oleh agama Islam.