Home Rasuah Busters Akta Pendanaan Politik perlu bagi tutup pintu rasuah

Akta Pendanaan Politik perlu bagi tutup pintu rasuah

Akta Pendanaan Politik perlu bagi tutup pintu rasuah

SHAH ALAM – Pas menegaskan bahawa Akta Pendanaan Politik diperlukan di negara ini bagi menutup pintu-pintu rasuah.

Ketua Penerangannya, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, perkara ini telah dilaksanakan di 116 buah negara dan dana diberikan kepada parti politik oleh kerajaan mengikut kekuatan yang ada pada parti terbabit.

“Secara teknikalnya, kita perlu ada akta ini. Satunya, apabila kita beri duit kepada parti politik untuk dibelanjakan maka mesti ada ketulusan dari sudut perbelanjaan

“Maknanya, bila kita masuk dalam pilihan raya, ini sahaja jumlah yang boleh digunakan sebagai modal kempen atau bahan kempen.

“Jadi ia membolehkan semua parti politik dapat berjuang atau berpolitik di ‘padang yang sama’,” katanya ketika menjadi panel dalam Kompas Rasuah Busters yang bertajuk ‘Rasuah: Gaya Hidup atau Keperluan?’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panel, Exco Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Hariz Yusoff manakala Irfan Faruqi bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Khairil Nizam turut mengakui akan ada ahli politik yang mengamalkan rasuah tetapi ia seharusnya tidak disatukan dengan ahli politik yang baik.

“Tak akan kita nak bakulkan semua ahli politik yang baik dengan yang tidak baik dalam satu bakul,” katanya.

Menurutnya, pemikiran generasi muda seharusnya ditanam bahawa rasuah itu tidak dibenarkan.

Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melihat kembali silibus pendidikan khususnya pada peringkat tertiari atau menengah.

“Kita boleh ajar apakah itu rasuah. Daripada kita ajar pendidikan seks semata-mata. Darjah enam sudah diajar pendidikan seks, kenapa kita tidak ajar tentang rasuah?I ni lagi penting dan menjadi barah kepada semua sistem,” ujarnya.

Khairil Nizam juga mengambil contoh kajian rasuah bahawa ia tidak tertumpu kepada ahli politik semata-mata.

“Ia banyak berlingkar kepada kakitangan kerajaan. Bayangkan bajet negara diuruskan oleh kakitangan kerajaan dan kajian mengatakan kakitangan kerajaan paling banyak mengambil rasuah.

“Ini benda yang perlu diselesaikan secara holistik. Pada saya, penyelesaian selain daripada penguatkuasaan seperti hukuman dan sebagainya, saya nampak ia bermula daripada pengenalan mereka tentang dosa dan pahala di sekolah-sekolah tentang jahatnya rasuah,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here