Home Rasuah Busters AJK masjid Terengganu jalani kursus pengurusan kewangan

AJK masjid Terengganu jalani kursus pengurusan kewangan

0
AJK masjid Terengganu jalani kursus pengurusan kewangan
M Rozi (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin (dua dari kanan) dan skuad #RasuahBusters ketika kunjungan di pejabat JHEAT di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) mengambil inisiatif memberikan kursus kepada pihak pengurusan terutama ahli jawatankuasa (AJK) masjid bagi memastikan kesemua peraturan dalam pengurusan kewangan dipatuhi.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, kursus yang turut melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dilaksanakan bagi menerapkan kefahaman mengenai kepentingan pengurusan kewangan secara betul termasuk yang didermakan orang awam.

“Kursus ini melibatkan sebanyak 540 buah masjid seluruh Terengganu. Ia diadakan bagi memastikan perjalanan pengurusan terutamanya dari sudut kewangan masjid berjalan mengikut peraturan dan kaedah-kaedah kewangan yang telah ditetapkan.

“Meskipun begitu, ia bukan bermaksud ada dalam kalangan jawatankuasa kita menyeleweng dan sebagainya, tidak. Ia bagi memastikan mereka mematuhi prosedur dan peraturan dalam membelanjakan sebarang bentuk wang termasuk melibatkan derma orang awam dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat skuad #RasuahBusters di pejabat JHEAT di sini pada Isnin.

Menurut M Rozi, berdasarkan peraturan, sebarang perbelanjaan wang masjid melebihi RM10,000 perlu mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya JHEAT.

“Setiap perbelanjaan melebihi RM10,000 perlu mendapat kelulusan, namun sekiranya jumlah RM1,000 ke bawah ia tidak perlu, tetapi maklumat berkaitan perbelanjaan masih perlu dikemukakan supaya setiap sen yang dikeluarkan direkodkan.

“Pernah berlaku wang dibelanjakan, tetapi melebihi RM10,000 tanpa mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada pesuruhjaya disebabkan AJK masjid tidak jelas mengenai peraturan yang ditetapkan. Sebab itulah, kita bekerjasama dengan TSIS bagi memastikan peraturan itu dipatuhi,” ujarnya.

Dalam pada itu, M Rozi berkata, JHEAT menyokong penuh usaha #RasuahBusters dan sedia untuk bekerjasama bagi melaksanakan aktiviti melibatkan pihak jabatan atau sekolah-sekolah di bawah jabatan itu.

“Kita amat-amat mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan daripada pihak #RasuahBusters untuk menambah baik lagi perkhidmatan sekaligus mengekang kegiatan jenayah rasuah,” katanya.

Berdasarkan laporan Malaysia Open Budget Index (MyOBI) pada Julai lalu, Terengganu menduduki tempat pertama dalam ranking ketelusan belanjawan negeri.

MyOBI yang dilancarkan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) merupakan indeks untuk menentukan tahap ketelusan belanjawan kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia.

Penilaian ini dibentuk berdasarkan piawaian yang ditetapkan dalam Tinjauan Belanjawan Terbuka (Open Budget Survey, OBS) iaitu satu penilaian antarabangsa berasaskan fakta untuk mengukur ketelusan belanjawan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here