Home Koronavirus Ziarah keluarga jangkiti jiran, rakan sekerja dan jemaah masjid

Ziarah keluarga jangkiti jiran, rakan sekerja dan jemaah masjid

0
Ziarah keluarga jangkiti jiran, rakan sekerja dan jemaah masjid

KUALA TERENGGANU – Situasi Covid-19 di Terengganu hanya boleh disahkan berjaya dikawal sepenuhnya sekiranya kes positif harian dilaporkan satu digit dan tiada kluster baharu direkodkan dalam tempoh seminggu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, sehingga saat itu Terengganu masih belum ‘menang’ apatah lagi empat kes varian baharu varian Beta (B.1.351) telah dikesan di negeri ini.

“Hari ini (Ahad) Terengganu melaporkan hanya 12 kes harian Covid-19, terendah untuk gelombang kali ini.

“Ramai mungkin berharap kita mencapai angka sifar dalam sedikit masa lagi. Kita pun berharap begitu juga, tetapi kluster baru sentiasa wujud, mampukah kita capai angka sifar itu,” katanya dalam hantaran terbaharu menerusi Facebook beliau.

Menurut Dr Nor Azimi, Kluster Beladau Selat dan Kluster Tanjung Ketom dari Mukim Serada merupakan antara kluster baharu dilaporkan di Terengganu.

“Dua kluster ini masih berkisar kepada jangkitan dalam keluarga dan menjangkiti rakan sekerja serta kontak sosial,” katanya.

Beliau berkata, Kluster Tanjung Ketom melibatkan lapan buah keluarga telah merebak kepada jiran, jemaah masjid dan dua tempat kerja dengan 50 kes positif dikesan hingga generasi kelima hasil saringan terhadap 668 individu.

“Kluster Beladau Selat pun sama, ia melibatkan lima buah keluarga termasuk keluarga jiran, merebak ke dua tempat kerja. Seramai 25 kes positif dikesan hingga ke generasi ke empat dan kontak rapat seramai 114 orang,” katanya.

Dr Nor Azimi berkata, jangkitan melibatkan beberapa keluarga itu memberi gambaran bahawa masih berlaku pertemuan antara keluarga walaupun sudah kerap kali pesanan agar aktiviti menziarahi keluarga ditangguhkan diberikan.

“Kita pesan banyak kali tangguh dulu aktiviti ziarah walaupun sesama keluarga. Elakkan berhimpun walaupun niat baik sebab virus Covid-19 sangat suka keadaan berhimpun.

“Jika penularan masih berlaku di tempat kerja, ia bermaksud pematuhan SOP (prosedur operasi standard) di sana kurang atau tiada,” katanya.

Sehingga Ahad, Terengganu merekodkan sebanyak 10,935 kumulatif kes positif Covod-19 dengan 497 kes aktif.

Daripada jumlah itu, sebanyak 70 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di negeri ini sepanjang pandemik tersebut berlaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here