Home Koronavirus Ziarah Aidilfitri cetus kluster baharu di Sabah, 31 positif Covid-19

Ziarah Aidilfitri cetus kluster baharu di Sabah, 31 positif Covid-19

0
Ziarah Aidilfitri cetus kluster baharu di Sabah, 31 positif Covid-19

KOTA KINABALU – Aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan Aidilfitri lepas telah mencetuskan kluster baharu di Sabah iaitu Kluster Blok 31 di Tawau dengan 31 kes positif dikesan setakat Sabtu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, kes indeks bagi kluster itu merupakan seorang suri rumah berusia 71 tahun yang dikesan positif selepas menjalani ujian saringan di Hospital Tawau pada 27 Mei.

Beliau berkata, susulan ujian saringan kontak rapat yang dilakukan selepas itu, sebanyak sembilan kes positif dikesan dengan tambahan 21 lagi kes baharu pada Sabtu.

“Aktiviti pengesanan kontak dan mengenal pasti punca jangkitan sedang giat dijalankan pada masa ini,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, satu lagi kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Gambaron di Telupid yang melibatkan tempat kerja dengan 12 kes positif setakat ini.

Kes indeks membabitkan seorang lelaki berusia 32 tahun yang bergejala batuk dan sesak nafas sejak 26 Mei lepas sebelum disahkan positif pada 2 Jun setelah menjalani ujian saringan di Klinik Telupid.

“Kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri perjumpaan sosial pada 22 Mei lepas di sebuah kafe di Telupid dan penularan kes juga disumbang beberapa rakan sekerja kes indeks yang telah pulang ke kawasan berisiko tinggi di Tawau untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

Masidi juga berkata, jumlah kes positif Covid-19 di Sabah menyaksikan penurunan kepada 259 kes berbanding 287 pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun berkata, trend penurunan atau peningkatan kes di Sabah didapati tidak statik dan ketika ini hanya dua daerah di negeri itu masih kekal dalam kategori zon hijau.

“Pengurangan zon hijau yang begitu ketara menandakan kebarangkalian berlaku aktiviti ketidakpatuhan SOP adalah sangat tinggi. Sehubungan itu, orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan.

“Kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here