Home Koronavirus Waris mangsa Covid-19 teruskan hidup walaupun perit

Waris mangsa Covid-19 teruskan hidup walaupun perit

0
Waris mangsa Covid-19 teruskan hidup walaupun perit

KOTA BHARU – Keluarga mangsa Covid-19 yang meninggal dunia kini sudah mampu menerima hakikat pemergian individu yang mereka sayangi dan nekad meneruskan kehidupan.

Walaupun perit, mereka turut bersyukur kerana mendapat sokongan ahli keluarga lain dan individu yang prihatin membantu mengurangkan beban kewangan dan menjaga anak-anak.

Suri rumah, Intan Safarina Abd Majjd, 40, berhasrat membuka perniagaan sendiri selepas suaminya, Azahari Hamid, 56, meninggal dunia pada Ogos tahun lalu akibat pandemik itu.

Intan Safarina terpaksa menjual kedai yang diusahakan Allahyarham suaminya kerana tidak mampu menguruskannya sendirian selain terpaksa menjaga anak-anak yang masih kecil.

“Selepas itu saya berjimat menggunakan wang yang ada selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM700 sebulan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.

Ibu empat anak berusia antara tiga hingga 20 tahun itu bagaimanapun nekad bangkit dan kini sedang mempelajari kaedah membuat kuih untuk dijual secara dalam talian.

“Syukur Alhamdulillah, wang bantuan sebanyak RM5,500 dapat saya berjimat dan dibelanjakan sebagai persediaan memulakan perniagaan serta persekolahan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Sayuzi Mohammad, 47, yang bekerja sebagai buruh mahu membelanjakan wang sebanyak RM2,000 yang diterima untuk perbelanjaan sekolah dua anaknya.

Sayuzi yang tinggal di Pantai Cahaya Bulan berkata, pemergian isteri, Allahyarham Suzihan Mohd Salim pada usia 41 tahun akibat Covid-19 memberi kesan terhadap kehidupannya dan anak-anak.

“Pada mulanya saya rasa agak terbeban kerana perlu menguruskan anak yang masih bersekolah di Tahun Satu walaupun dibantu dua anak berusia 22 dan 24 tahun.

“Alhamdulillah kini keadaan sudah berubah dan anak-anak juga boleh menerima hakikat pemergian ibu mereka,” katanya.

Intan Safarina dan Sayuzi merupakan dua daripada sembilan penerima bantuan Yayasan Keluarga Malaysia sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here