MELAKA – Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Melaka membenarkan semua pusat pemberian vaksin (PPV) awam di negeri ini memberikan suntikan vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’ atau jumpa terus kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang belum menerima janji temu mulai Isnin.
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman bagaimanapun berkata, di bawah inisiatif itu, setiap PPV hanya boleh memberikan vaksin kepada 50 individu terawal memandangkan bekalan vaksin yang terhad.
“Walk-in hanya dibenarkan bermula jam 8.30 pagi hingga jam 1 petang. Warga emas, OKU atau waris peneman perlu membawa kad pengenalan penerima vaksin, telefon pintar yang berdaftar dengan MySejahtera serta dokumen berkaitan seperti penyakit kronik (sekiranya ada) ke PPV.
“Menerusi inisiatif ‘walk-in’ untuk warga emas dan OKU ini, adalah diharapkan Melaka akan segera dapat mencapai kadar vaksinasi 100 peratus buat golongan ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagi warga emas dan OKU yang telah mempunyai tarikh janji temu serta lokasi PPV, Rahmad menasihat agar mereka hadir ke lokasi yang telah ditetapkan.
“Mereka ini tidak dibenarkan ‘walk-in’ ke PPV lain kerana PPV telah ditetapkan,” katanya. – Bernama