KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan yakin dapat mencapai imuniti kelompok 80 peratus pada hujung bulan ini walaupun jumlah pengambilan vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’ agak perlahan di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya juga difahamkan 20 peratus daripada rakyat negeri ini berada di perantauan dan kebanyakannya telah mendapat vaksinasi masing-masing.
“Kerajaan pun cari sebab juga kenapa ‘walk-in’ ini agak ‘slow’, namun apa yang kita maklum 20 peratus iaitu lebih 100,000 daripada rakyat Kelantan kini berada di perantauan, di Lembah Klang dan sebagainya.
“Kita tengok di beberapa jajahan yang kita buka ‘walk-in’, jumlahnya semua kurang. Ini menunjukkan masing-masing sudah keluar ambil vaksin mereka.
“Dua hari lepas kita sudah capai 48 peratus, hampir separuh. Insya-ALLAH, kita boleh capai imuniti kelompok hujung bulan ini,” katanya kepada media selepas menghadiri sambutan Hari Suri Mithali di sini pada Khamis.
Sementara itu, ketika ditanya vaksinasi melibatkan guru-guru di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Mohd Amar berkata, pihaknya akan memanggil mana-mana guru yang masih belum membuat keputusan untuk menerima vaksinasi masing-masing.
Menurutnya, bukan hukuman yang hendak dikenakan, namun pertemuan tersebut adalah sekadar untuk mendapatkan maklum balas dan mengetahui dengan lebih lanjut apa alasan mereka yang masih belum mendapatkan vaksinasi Covid-19.
“Alasan yang kita tahu sebelum ini adalah bersifat umum, ada yang takut untuk vaksin sebab risau lepas vaksin ada yang maut dan sebagainya.
“Itu tidak termasuk lagi dengan teori konspirasi dan sebagainya. Macam-macam alasan, kita akan panggil nanti dan bincang sebaik mungkin,” katanya.