Home Koronavirus Wajib ambil dos penggalak bagi solat Jumaat atas perkenan Sultan

Wajib ambil dos penggalak bagi solat Jumaat atas perkenan Sultan

0
Wajib ambil dos penggalak bagi solat Jumaat atas perkenan Sultan

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menegaskan bahawa ketetapan membenarkan hanya individu yang telah mengambil dos penggalak Covid-19 mendirikan solat Jumaat adalah berdasarkan perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Jawatankuasa negeri Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam kenyataan di sini pada Isnin memaklumkan, perkenan Sultan Selangor itu melalui surat arahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertarikh 21 Februari lepas.

“Surat arahan tersebut bertajuk ‘Arahan Mempertingkatkan Penguatkuasaan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Masjid, Surau Dan Musolla Negeri Bagi Mengawal Pandemik Covid-19’.

“Sesungguhnya perkenan ini merupakan keprihatinan baginda untuk mengelakkan jangkitan pandemik Covid-19 setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berikutan perkembangan terkini jangkitan pandemik tersebut,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan menggalakkan rakyat di negeri ini mengambil dos penggalak adalah bertepatan dengan salah satu prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa dan kerajaan negeri amat prihatin terhadap kesihatan dan kemakmuran rakyat serta sentiasa berusaha mengambil tindakan terbaik untuk mencapai maksud tersebut.

“Kerajaan juga yakin bahawa perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mewajibkan pengambilan dos penggalak bagi menyertai solat fardu Jumaat di masjid adalah berasaskan konsep Fiqhiyyah iaitu sadd adz-dzara’i. Konsep ini bermaksud ‘mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa ke arah kerosakan dan bahaya,” katanya.

Mohd Zawawi turut menasihatkan rakyat Selangor agar segera mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin berhampiran bagi memastikan kesihatan diri sendiri, keluarga dan kepentingan awam. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here