KOTA BHARU – Keperluan mendesak untuk kegunaan pesakit Covid-19 menyebabkan wad-wad separa kritikal di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini terpaksa dijadikan wad unit rawatan rapi (ICU).
Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, pihaknya juga terpaksa menggunakan wad-wad biasa sebagai wad bagi pesakit Covid-19.
“Memang sekarang ini kita dalam keadaan yang agak mencabar. Dengan peningkatan kes Covid-19 hampir setiap hari, kapasiti penggunaan katil juga terus meningkat.
“Dalam waktu sama, kita juga perlu menerima kes-kes kecemasan lain seperti kemalangan, pembedahan dan bersalin. Penggunaan katil di wad ICU dan separa kritikal di hospital ini kini sudah hampir 97 peratus penggunaannya,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan pentadbiran HRPZ II di sini pada Selasa.
Beliau sebelum itu menerima sumbangan sebanyak 2,780 pelitup muka daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kelantan yang diwakili Pengerusi Rehda Kelantan, Datuk Syamsuri Awang Mat.
Sementara itu, Dr Selasawati berkata, dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh bermula Selasa, pihaknya berharap kadar kemalangan di jalan raya akan berkurangan berikutan pergerakan orang ramai adalah terhad.
“Dengan ini membolehkan kita memberi fokus yang lebih kepada pesakit Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga mengambil inisiatif mengurangkan kontak dengan pesakit luar apabila membekalkan ubat untuk tempoh dua hingga tiga bulan sekali gus.
Katanya, ia membantu mengurangkan kontak pesakit dengan kakitangan hospital, bagaimanapun pihaknya tetap menerima pesakit kecemasan 24 jam.
“Buat masa ini kita bercadang untuk mendapatkan perkhidmatan daripada Hospital Pakar Perdana. Sekarang ini pun kita sedang bekerjasama dengan mereka dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) melibatkan pesakit bukan Covid-19,” katanya.