Home Koronavirus Wad hospital cetus kluster Covid-19

Wad hospital cetus kluster Covid-19

0
Wad hospital cetus kluster Covid-19

ALOR SETAR – Seramai 93 kes positif Covid-19 dikesan melibatkan Kluster Telaga 2 yang terdiri daripada petugas dan pesakit Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) serta ahli keluarga mereka.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, seorang pesakit buah pinggang di Wad Nefrologi hospital berkenaan telah disahkan positif Covid-19 melalui saringan sebelum menjalani satu prosedur pada 4 Ogos lepas.

Katanya, berikutan itu, siasatan dan saringan kontak rapat telah dilakukan terhadap pesakit lain dan peneman, petugas kesihatan, serta petugas sokongan hospital yang bertugas di wad sama dan waris pesakit serta petugas.

“Hasil saringan awal mendapati, 72 kes positif Covid-19 dikesan iatu 31 pesakit Wad Nefrologi, 23 petugas kesihatan, empat pekerja sokongan hospital dan 14 kes waris pesakit.

“Dalam kalangan pesakit Wad Nefrologi yang positif, ketika baru didiagnosis 11 kes tidak bergejala (kategori satu), dua kes bergejala ringan (kategori dua), satu kes dalam kategori tiga, 15 kes dalam kategori empat dan tiga kes dalam kategori lima,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 10 kes telah meninggal dunia dan 22 kes lagi masih berada di wad dengan siasatan lanjut berkaitan kematian berkenaan sedang dijalankan.

“Setakat ini, belum ada dalam kalangan kontak petugas kesihatan, perkhidmatan sokongan dan keluarga yang dimasukkan ke wad kecuali seorang petugas kesihatan dalam kategori satu tetapi dimasukkan ke wad kerana mengandung dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Dr Othman berkata, siasatan dan saringan terhadap kontak selanjutnya telah mengesan 21 kes positif lagi di Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan Yan menjadikan jumlah keseluruhan Kluster Telaga 2 adalah seramai 93 orang.

Katanya, sehubungan itu, beberapa tindakan diambil segera termasuklah penutupan Wad Nefrologi sebaik kes pertama disahkan positif dan kemasukan pesakit baru ke wad berkenaan dihentikan bagi membendung jangkitan Covid-19 di HSB.

Tambah beliau, semua pesakit telah dipindahkan ke wad Covid secara berperingkat dan wad akan dibuka semula selepas disanitasi.

Dalam perkembangan sama, menurut Dr Othman, Perkhidmatan Hemodialisis Pesakit Luar di Hospital Alor Setar berjalan seperti biasa dan perkhidmatan ‘Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis’ (CAPD) pula dipindah ke ruang lain iaitu di ‘Diabetic Resource Center’.

Jelasnya, pesakit nefrologi baharu bukan Covid-19 dimasukkan ke wad bukan Covid-19 lain, malah tiada wad ataupun perkhidmatan lain ditutup berkaitan dengan kluster tersebut.

“Teruskan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mengamalkan norma baharu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here