Home Koronavirus VTL Malaysia-Singapura: Lelaki 21 tahun dikesan positif Covid-19

VTL Malaysia-Singapura: Lelaki 21 tahun dikesan positif Covid-19

0
VTL Malaysia-Singapura: Lelaki 21 tahun dikesan positif Covid-19

JOHOR BAHRU – Satu kes positif Covid-19 dikesan pada hari pertama Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, kes membabitkan seorang lelaki berusia 21 tahun itu dikesan di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral.

Menurutnya, individu terbabit yang menaiki bas pertama VTL darat tiba pada jam 9.10 pagi Isnin.

“Terdapat seorang lelaki yang dikesan positif hasil ujian pengesanan pantas (RTK- Antigen). Individu terbabit terus diasingkan sebaik keputusan saringannya positif dan kini sedang dikuarantin oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

“Difahamkan ujian yang dilakukan di Singapura ke atas lelaki itu negatif, namun disahkan positif di sini. Ini menunjukkan keberkesanan sistem yang digunapakai untuk VTL darat di Larkin Sentral berkesan.

“Setakat ini, seramai 350 pengembara dari Singapura tiba di Larkin Sentral dengan menaiki 12 bas. Cuma satu kes positif sahaja yang dikesan setakat ini dan ia dianggap sebagai satu kes kes import bagi Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral di sini pada Isnin.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, terdapat satu kes positif Covid-19 dikesan ke atas pengembara yang menggunakan VTL darat antara Malaysia dan Singapura pada Isnin.

“Walaupun ada satu kes, saya tidak anggap ia boleh gagalkan VTL, sebaliknya ini contoh kepentingan di sebalik saringan prapelepasan dan ketika ketibaan.

“Tidak perlu batalkan VTL hanya kerana satu kes ini, tetapi kita kena hidup dengan ia (virus Covid-19) memandangkan kes positif akan selalu ada,” katanya.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pada 21 November lalu memaklumkan seramai 1,440 individu dijangka menggunakan VTL darat antara Malaysia dan Singapura yang akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Kes pertama Covid-19 VTL Malaysia-Singapura dikesan: KJ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here