PUTRAJAYA – Kebenaran untuk merapatkan saf jemaah di masjid masih berada dalam perancangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pada masa ini pihaknya memberi tumpuan terhadap penularan jangkitan Covid-19 varian Omicron.
“Apa-apa pun perancangan KKM untuk ke arah keterbukaan yang lebih besar masih lagi dalam perancangan,” katanya.
Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) di tempat ibadah, pintu masuk antarabangsa dan kawalan sempadan sudah tersedia.
“Cuma kita hold sekejap nak tengok gelombang ini selesai…Selepas itu kita sedia,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai SOP menunaikan ibadah di masjid.
Pada 16 Disember lalu, Khairy memaklumkan KKM memerlukan tempoh masa beberapa minggu lagi sebelum mengeluarkan nasihat berhubung kebenaran merapatkan saf bagi jemaah di masjid.