PUTRAJAYA – Seorang petugas kesihatan tampil mempertahankan bahawa proses vaksinasi anak bongsu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah sempurna dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Jururawat yang tidak didedahkan identitinya itu berkata, beliau adalah vaksinator bertugas di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ketika Raif, 6, menerima dos pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer pada Ahad lalu.
“Demi ALLAH SWT, saya tidak mengeluarkan apa-apa vaksin. Saya pegang budak itu sebab dia duduk di tepi saya untuk elak dia lari atau bergerak.
“Bila nampak dia okay, saya kira satu hingga 10 kemudian cepat-cepat suntik,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sebelum ini, rakaman proses vaksinasi Raif dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial dengan mendakwa vaksinator berkenaan mengeluarkan cecair vaksin daripada jarum suntikan sebelum menyuntik kanak-kanak tersebut.
Bagaimanapun Khairy menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkan ia adalah sebagai suatu fitnah.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, jururawat itu berkata, cecair vaksin tidak boleh dikeluarkan daripada picagari tanpa ditekan.
“Macam mana vaksin itu dikeluarkan melainkan you push it,” katanya.
Menurutnya, semasa prosedur, jarum suntikan ditarik sedikit bagi memastikan ia tidak terkena pada saluran darah.
“Saya memang tak ada pam angin ke apa ke…Memang tidak ada. Apa yang saya tunjuk kepada ibu bapa dari vail mengandungi vaksin Pfizer itu, itulah saya ambil,” katanya.
Ujarnya, dalam menyampaikan perkhidmatan melibatkan kanak-kanak, beliau sedaya upaya untuk menjadikan keadaan selesa bagi kedua-dua pihak.
“Kita kena berinteraksi dengan kanak-kanak tersebut untuk elak takut (jarum). Ini adalah situasi menang-menang yang mana saya boleh cucuk dengan baik dan dia tidak takut,” katanya.
Pada akhir rakaman, jururawat itu berharap agar orang ramai tidak menyebarkan sesuatu yang tidak sahih.
“Saya cuma harap satu benda, tolonglah kalau kamu tidak tahu, jangan buat kesimpulan dan tuduhan sebab ini melibatkan kehidupan kami.
“Siasatlah dahulu sebelum melemparkan tuduhan. Saya sudah menjalankan tugas dan telah menerangkan kepada ibu bapa.Kalau kamu tidak mahu, tidak mengapa jangan tuduh orang tanpa asas,” katanya.