KUALA LUMPUR – Tular di media sosial memaparkan deretan van membawa jenazah di perkarangan Tanah Perkuburan Bukit Kiara di sini dipercayai melibatkan jenazah pesakit Covid-19.
Suasana di tanah perkuburan yang ‘dibanjiri’ deretan van jenazah itu dikongsi Redaksi.Com di laman Facebook miliknya pada Sabtu sehingga menimbulkan pelbagai reaksi termasuk simpati.
“Allahu. Ramai dah merasai kehilangan insan tersayang akibat dari wabak ini. Saya salah satunya, kehilangan arwah abah pada 4 Julai 2021. Pilu memang pilu,” kata Rosilawati Mat Tahir di ruangan komen.
Dalam ruangan sama, Rosilawati turut berterima kasih kepada petugas barisan hadapan dan berharap petugas terbabit dapat melaksanakan tugas tanpa menjejaskan kesihatan mereka.
“Moga anda jaga SOP (prosedur operasi standard) masing-masing. Moga arwah abah dan yang lain ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin,” katanya sambil menasihati netizen agar duduk sahaja di rumah ketika ini.
Berdasarkan semakan, perkongsian tular itu dimulakan pengguna Twitter, RamadanazizAMN pada Jumaat sebelum menarik perhatian netizen hingga menjadi tular di Twitter serta Facebook pada Sabtu.
“16 Julai 2021 Tanah Perkuburan Bukit Kiara, van jenazah beratur tunggu giliran,” ciapnya sebelum ia dikongsi lebih 20,000 kali dan mendapat lebih 15,000 tanda suka.
Perkembangan itu juga dipercayai berpunca akibat peningkatan kes kematian Covid-19 malah kes baharu juga terus meningkat apabila sebanyak 12,528 kes dilaporkan pada Sabtu.
Selangor dilaporkan kekal negeri tertinggi melaporkan kes harian baharu iaitu 4,985 jangkitan manakala Negeri Sembilan pula merekodkan 1,280 kes dan Kuala Lumpur (1,740).