Home Koronavirus Vaksinasi: Wakil rakyat DAP perlu terus desak kerajaan

Vaksinasi: Wakil rakyat DAP perlu terus desak kerajaan

0
Vaksinasi: Wakil rakyat DAP perlu terus desak kerajaan

BUTTERWORTH – Wakil rakyat DAP perlu terus menggesa dan menyuarakan tanpa gentar mengenai tindakan vaksinasi yang lebih pantas bagi memerangi lonjakan jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang yang hampir mencecah 1,000 kes pada Sabtu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, gesaan itu perlu dibuat berikutan berlaku penurunan dalam pemberian vaksin daripada 30,000 dos harian kepada 23,369 dos harian pada 7 Ogos berbanding pada bulan Julai.

Menurutnya, bagi bulan Ogos, sasaran 30,000 dos hanya tercapai sekali iaitu pada 5 Ogos lalu manakala jumlah vaksinasi harian paling rendah dicatatkan pada 1 Ogos iaitu 21,614 dos.

“Sebelum ini Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan yang Pulau Pinang boleh mencapai 40,000 dos harian pada bulan ini tetapi dengan bekalan vaksin yang tidak menentu, mungkin sukar untuk sekadar mencapai sasaran purata 30,000 dos sehari.

“Mampukah kerajaan Persekutuan menjamin penghantaran segera untuk membolehkan 40,000 dos harian dicapai menjelang hujung Ogos dan perkara ini perlu diberi tekanan oleh wakil rakyat DAP,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, vaksinasi satu-satunya perlindungan terhadap risiko kematian yang tinggi akibat Covid-19.

Beliau berkata, seperti rekod yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 Ogos lalu, 99 peratus pesakit Covid-19 dalam kategori 5 adalah dalam kalangan mereka belum menerima vaksin.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut menggesa KKM menyalurkan sumber yang lebih banyak kepada melebarkan sistem sokongan kesihatan, seperti lebih banyak katil di unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, Jabatan Pesakit Luar Hospital Pulau Pinang (HPP) terpaksa ditukar menjadi wad pemerhatian dan rawatan awal pesakit Covid-19 berikutan peningkatan mendadak pesakit Covid-19 yang dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma dan dimasukkan ke wad hospital.

“Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan dengan penutupan sementara tersebut, klinik-klinik kesihatan di Daerah Timur Laut telah bersiap siaga untuk menerima pesakit luar dengan bantuan pegawai perubatan daripada Jabatan Pesakit Luar HPP.

“Dalam kita bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk memerangi Covid-19 dan meningkatkan kadar vaksinasi, wakil rakyat DAP perlu menyuarakan secara tegas demi kepentingan rakyat Pulau Pinang.

“Masanya sudah tiba untuk mengetepikan perbezaan politik dan menggunakan kepakaran profesional bagi memastikan sebarang halangan yang mengekang pemberian vaksin, rawatan dan saringan massa dengan segera dapat diselesaikan dengan pantas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here