Home Koronavirus Vaksin ‘walk-in’ di Perak kurang sambutan

Vaksin ‘walk-in’ di Perak kurang sambutan

0
Vaksin ‘walk-in’ di Perak kurang sambutan

LENGGONG – Pemberian vaksin tanpa janji temu di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Perak kurang mendapat sambutan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sejak diumumkan pemberian vaksin tanpa janji temu itu pada Rabu, keadaan di beberapa PPV di negeri ini masih lengang tanpa kehadiran penduduk.

Menurutnya, antara punca keadaan itu berkemungkinan anggaran jumlah penduduk yang dibekalkan Jabatan Perangkaan tidak sama dengan jumlah penduduk sebenar.

“Jadi bilangan anggaran itu jauh lebih besar daripada jumlah sebenar menyebabkan tiada lagi yang hadir kerana mereka sudah mengambil vaksin.

“Keduanya sebahagian besar penduduk Perak mengambil vaksin di negeri lain seperti di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan One-off Penjaja Majlis Daerah Lenggong di Dewan Serbaguna Kota Tampan, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Perak, Ir Ts Kamarulaffie Ahmad.

Menurutnya, tempoh masa bagi pemberian vaksin tanpa janji temu di semua PPV di Perak akan berlangsung sehingga 31 Oktober depan.

Saarani memberitahu, kerajaan negeri akan membuat penilaian semula keperluan pembukaan PPV yang tidak mendapat sambutan bagi menempatkan kembali petugas kesihatan ke tempat masing-masing.

“Kita kena buat penilaian semula sebab telah ganggu tugas jururawat yang terpaksa berkumpul di PPV sedangkan mereka ada tugas hakiki di klinik dan hospital.

“Jadi kalau tak ada orang nak datang, kita kena tutup PPV dan kembalikan petugas ke tempat asal mereka,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan bersama Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak akan melihat keperluan program vaksinasi kepada pelajar maahad tahfiz sama ada secara berpusat atau jangkauan komuniti.

Menurutnya, perkara itu akan diputuskan berdasarkan kesesuaian mengurus dan memudahkan proses pemberian vaksin dilaksanakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here