Home Koronavirus Vaksin Sinovac untuk remaja 12 tahun ke atas

Vaksin Sinovac untuk remaja 12 tahun ke atas

Vaksin Sinovac untuk remaja 12 tahun ke atas

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) meluluskan penggunaan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd China dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd Malaysia kepada golongan berusia 12 tahun ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada Jumaat.

“Bagaimanapun PBKD menyarankan agar penggunaan vaksin CoronaVac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada mereka tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty,” katanya.

Menurutnya, kelulusan bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari masa ke masa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko vaksin tersebut kekal positif,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, penilaian bagi penggunaan CoronaVac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi.

“KKM sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta diluluskan oleh PBKD,” katanya.

CoronaVac sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

Ini merupakan vaksin Covid-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberikan kepada vaksin Cominarty, keluaran PfizerBioNTech pada Jun 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here