GEORGETOWN – Semua vaksin Covid-19 selamat tiba di dua buah Pusat Simpanan Vaksin (PSV) iaitu Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ), jam 8 pagi pada Isnin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, susulan daripada itu, polis meningkatkan kawalan keselamatan di kedua-dua hospital tersebut.
Menurutnya, proses membawa vaksin tersebut dari gudang penyimpanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) diiringi pasukan pengiring polis bagi memastikan eselamatan.
“Vaksin tersebut dibawa keluar dari gudang penyimpanan pada jam 8 pagi dan terus ke PSV pertama iaitu HPP. Selepas itu, dihantar pula ke PSV kedua iaitu di HSJ kira-kira jam 9 pagi.
“Proses penghantaran vaksin berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini. Kita juga meningkatkan kawalan keselamatan di kedua-dua PSV,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin.
Menurutnya, tarikh dan masa untuk penghantaran vaksin daripada PSV ke lima daerah di Pulau Pinang akan ditentukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).
“Kira-kira 6,000 pegawai dan anggota polis Pulau Pinang akan menerima suntikan vaksin, malah saya sendiri bersedia menjadi orang pertama untuk menerima suntikan.
“Keutamaan akan diberikan kepada anggota dan pegawai polis yang berada di barisan hadapan iaitu terdedah dengan jangkitan,” katanya.
Pada Ahad, sebanyak 16,000 dos vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech tiba di LTAPP pada 5.35 petang menggunakan pesawat khas.
Pesawat itu berlepas dari Hong Kong, transit di Singapura sebelum tiba di Pulau Pinang sebelum vaksin itu dihantar ke PSV.