Home Koronavirus Vaksin: Penerangan kepada orang asli dipertingkat

Vaksin: Penerangan kepada orang asli dipertingkat

0
Vaksin: Penerangan kepada orang asli dipertingkat

ROMPIN – Penerangan mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam kalangan orang asli akan dipertingkatkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, dalam usaha menjayakan program imunisasi itu, agensi dan jabatan di bawah kementeriannya akan mendekati golongan berkenaan dengan pelbagai kaedah bagi memberi penerangan mengenai vaksin.

“Untuk orang asli kita harus beri sedikit tumpuan dan kita kena lipat gandakan usaha untuk menerangkan mengenai vaksin kepada mereka.

“Selain turun padang, kita juga gunakan medium radio yang melakukan hebahan dalam bahasa orang asli. Tetapi mereka ada banyak dialek, kita akan cuba untuk dekati golongan ini dengan pelbagai cara,” katanya ketika sesi taklimat bersempena Program Jelajah Malaysia Prihatin di sini pada Jumaat.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Rompin, Osman Omar.

Sementara itu, Mohd Sukari ketika ditemui pemberita berkata, dalam mendekati orang asli bagi memberi penerangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan vaksin Covid-19, pihaknya turut turun padang menerusi program ‘Info On Wheels’ (IOW) dan iM@JaPen.

Menurut beliau, pihaknya akan membantu golongan tersebut membuat pendaftaran vaksin hanya selepas mendapat persetujuan daripada individu berkenaan.

“Selain itu, kita juga adakan gerakan bersepadu bersama-sama Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi memudahkan kita mendekati golongan ini selain memastikan mereka memahami apa yang diterangkan,” jelasnya.

Beliau juga meminta individu yang menghadapi masalah capaian Internet agar datang ke Pejabat Penerangan daerah bagi membuat pendaftaran vaksin tersebut. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here