Home Koronavirus Vaksin kanak-kanak dijangka capai 50 peratus

Vaksin kanak-kanak dijangka capai 50 peratus

0
Vaksin kanak-kanak dijangka capai 50 peratus

SEREMBAN – Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan peratusan jumlah kanak-kanak yang divaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) akan mencapai 50 peratus sebelum sekolah dibuka minggu depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini hanya 32 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun menerima vaksin Covid-19, namun berlaku sedikit peningkatan.

“Jangan ambil sikap ‘tunggu dan lihat’ sekolah akan dibuka seminggu lagi, jadi saya merayu kepada ibu bapa untuk segera mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk anak-anak sebagai langkah perlindungan.

“Tujuan vaksin adalah sebagai perlindungan daripada kesan gejala buruk Covid-19, mengelakkan menggunakan bantuan pernafasan dan meninggal dunia. Kesan sampingan untuk kanak-kanak jauh lebih rendah daripada orang dewasa,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Komuniti sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2022 di Pasaraya Mydin Senawang di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, KKM dalam hantaran melalui laman Facebook memaklumkan sejak Februari hingga kini, kadar kemasukan pesakit kanak-kanak meningkat sebanyak 94 peratus untuk semua kategori tiga hingga lima, dengan peningkatan ketara bagi kategori empat, iaitu sebanyak 200 peratus, diikuti kategori lima sebanyak 125 peratus.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Khairy berkata, lebih kurang lima juta rakyat Malaysia yang layak membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma menerusi program Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) tidak memanfaatkan program tersebut.

“Di peringkat nasional setakat ini hanya 561,000 individu yang layak telah membuat saringan kesihatan sejak program PeKa B40 bermula Februari lalu.

“Jumlah yang layak membuat saringan adalah lebih lima juta orang, jadi kita lihat ramai yang tidak memanfaatkan program PeKa B40 ini walaupun ia percuma.

“Melalui Peka B40, individu yang layak perlu datang ke klinik kesihatan, mungkin ramai yang malas datang ke klinik jadi mereka buat pilihan untuk tidak pergi, oleh itu kementerian berhasrat untuk turun ke lapangan termasuk kawasan kampung dan pedalaman,” katanya.

Khairy berkata, program itu menyasarkan pemeriksaan kesihatan penyakit tidak berjangkit secara percuma kepada ketua keluarga dan pasangan dari golongan berpendapatan rendah berusia 40 tahun ke atas yang juga penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Beliau berkata, berikutan sambutan yang kurang menggalakkan menerusi program PeKa B40, KKM berhasrat menjadikan bulan Julai sebagai bulan pemeriksaan kesihatan Malaysia.

“Cadangan adalah pada bulan Julai, nanti kita akan maklumkan tarikh dan sasaran berapa juta orang yang akan disaring.

“Ini penting selama dua tahun, kita tidak dapat buat banyak program perkhidmatan kesihatan sebab kita sibuk dengan Covid-19, sekarang masa yang sesuai untuk kita gerakkan semula program bukan Covid-19 supaya kita dapat tahu tahap kesihatan rakyat Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here