Home Koronavirus Vaksin kanak-kanak: 15 peratus ibu bapa di Sarawak tidak setuju

Vaksin kanak-kanak: 15 peratus ibu bapa di Sarawak tidak setuju

0
Vaksin kanak-kanak: 15 peratus ibu bapa di Sarawak tidak setuju

KUCHING – Sebanyak 15 peratus daripada 40,000 responden dalam kalangan ibu bapa di Sarawak tidak bersetuju dengan Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (PICKids).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, hasil tinjauan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dari 26 hingga 31 Jan itu mendapati sebanyak 59.7 peratus sangat bersetuju manakala 25.3 peratus tidak pasti.

Beliau berkata, antara sebab utama responden tidak setuju atau tidak pasti ialah kerisauan berkenaan komplikasi yang bakal berlaku selepas mengambil vaksin.

“Ada juga yang risau berkenaan keselamatan vaksin dan mahu memilih jenis vaksin yang diberikan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) kepada pemberita selepas majlis pelancaran PICKids peringkat Sarawak di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini pada Khamis.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Rabu berkata, sebanyak 517,107 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah didaftarkan oleh ibu bapa mereka untuk menerima vaksin Pfizer Covid-19 setakat 1 Februari.

Menurutnya, angka itu merangkumi kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan kohort 3.6 juta kanak-kanak.

Sementara itu, Uggah berkata, 272,500 orang kanak-kanak berumur 5 hingga kurang 11 tahun di Sarawak yang layak untuk PICKids.

“Kita menyasarkan 70 peratus kanak-kanak yang layak dan di dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos pertama vaksin Pfizer dalam tempoh 2 bulan dari sekarang,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here