Home Koronavirus Vaksin Johnson & Johnson dapat lampu hijau

Vaksin Johnson & Johnson dapat lampu hijau

0
Vaksin Johnson & Johnson dapat lampu hijau

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu meluluskan vaksin Covid-19 dihasilkan Johnson & Johnson (J&J) untuk kegunaan kecemasan, sekali gus menjadikan ia sebagai vaksin ketiga yang bakal digunakan bagi membendung penularan wabak yang telah meragut lebih 500,000 nyawa di negara itu.

Keputusan itu dibuat selepas Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) mengesahkan vaksin suntikan dos tunggal itu sangat berkesan untuk mencegah Covid-19 yang teruk termasuk ancaman varian baharu.

“Kelulusan diberikan memperluaskan lagi ketersediaan vaksin yang merupakan kaedah pencegahan terbaik bagi membantu kita memerangi pandemik ini,” kata pemangku pengarah badan pengawal selia itu, Janet Woodcock.

Di bawah pengumuman itu, individu berusia 18 tahun dan ke atas dibenarkan untuk mendapatkan suntikan vaksin J&J tersebut selepas ia mendapat sokongan sebulat suara panel pakar badan terbabit pada Jumaat lalu.

Keputusan ujian klinikal terbesar juga menunjukkan tahap keberkesanan vaksin itu terhadap gejala yang teruk mencapai tahap 85.9 peratus di AS, 81.7 peratus di Afrika Selatan dan 87.6 peratus di Brazil.

Secara keseluruhan, keputusan membabitkan ujian terhadap 39,321 sukarelawan membuktikan vaksin tersebut adalah 85.4 peratus efisien.

Presiden Joe Biden turut menyambut baik pengumuman tersebut.

“Ia adalah khabar gembira buat seluruh rakyat Amerika dan perkembangan yang menggalakkan di bawah usaha kita untuk menghentikan krisis ini,” katanya selepas vaksin J&J mendapat lampu hijau.

Firma farmaseutikal itu dijangka mengeluarkan kira-kira satu bilion dos vaksin Covid-19 pada 2021 dan telah mencapai perjanjian dengan beberapa negara serta merancang membekalkan 50 juta vaksin kepada negara miskin di bawah kerjasama dengan COVAX. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here