Home Koronavirus Vaksin fasa kedua: Beberapa kategori lain akan didahulukan

Vaksin fasa kedua: Beberapa kategori lain akan didahulukan

0
Vaksin fasa kedua: Beberapa kategori lain akan didahulukan

SHAH ALAM – Beberapa kategori lain akan didahulukan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua yang bakal bermula pada April ini.

Menteri Penyelarasnya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah itu adalah susulan daripada pendaftaran buat golongan sasar bagi fasa kedua ini masih kurang sambutan dan belum diterima sepenuhnya.

Bagaimanapun, Khairy menegaskan bahawa warga emas dan golongan yang mempunyai penyakit kronik tetap berada dalam keutamaan bagi pemberian vaksin fasa kedua tersebut.

“Isnin ini, saya juga akan umumkan beberapa kategori lain yang kita akan tambah untuk fasa kedua ini.

“Ada beberapa kumpulan yang dikategorikan sebagai ‘economic frontliners’ yang perlu diberi perhatian dalam pemberian vaksin ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Bangunan Annex pada Khamis.

Pada pertemuan itu, Khairy dan Amirudin turut membincangkan mengenai pelarasan beberapa perkara khususnya dalam menambah jumlah pendaftaran penerima vaksin di negeri ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Selangor menjadi antara negeri yang merekodkan pendaftaran dan pemberian vaksin tertinggi di Malaysia bagi fasa pertama yang masih berjalan sehingga kini.

“Kesedaran di Selangor agak tinggi dan kita akan tingkat strategi pendaftaran vaksin melalui pendaftaran bersemuka menerusi program yang akan dijalankan bersama jentera kerajaan negeri yang turut dibantu oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain

“Kita juga akan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan lain-lain untuk pergi rumah ke rumah dan membuka kaunter pendaftran di kawasan tumpuan untuk mudahkan kerajaan negeri dan galakkan pendaftaran,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, buat masa ini, sebanyak 90 pusat vaksin telah disenaraikan beroperasi di Selangor dan pihaknya sedang melakukan pelarasan berhubung perkara itu sekiranya jumlah berkenaan perlu ditambah selepas ini.

“Sebagai contoh, pusat pemberian vaksin di Pusat Konvensyen Sunway juga kapasitinya masih belum penuh dan mampu ditingkatkan lagi untuk tampung lebih ramai penerima selepas ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here