Home Koronavirus Vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak bermula 3 Februari

Vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak bermula 3 Februari

0
Vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak bermula 3 Februari

PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Penghantaran pertama bagi Vaksin Pfizer (kanak-kanak) akan tiba di negara ini pada Jumaat (esok) dan akan terus dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, dengan ketibaan vaksin itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mula melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun bermula 3 Februari ini melalui Program Vaksinasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).

Menurutnya, Vaksin mRNA iaitu Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) akan digunakan dan buat permulaan, PICKids akan dilaksanakan di Lembah Klang.

“Pelaksanaannya akan dibuat melalui hospital-hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan, manakala pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.

“Saya ingin menekankan bahawa vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak adalah selamat dan berkesan. Ini juga disokong dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kolej Pediatrik, Academy of Medicine Malaysia pada 20 Januari lalu.

“Dianggarkan seramai 4 juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin ini. Pengambilan vaksin ini adalah amat digalakkan bagi memastikan kesihatan anak-anak terpelihara,” katanya pada sidang akhbar PICKids di Dewan Serba guna KKM, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Khas PICKids berkata, program berkenaan akan diperluaskan ke sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain itu, kaedah pemberian lain yang telah dikenal pasti adalah PPV Offsite, klinik swasta, klinik kesihatan dan program jangkau luar (outreach).

“KKM juga telah memulakan kerjasama dengan agensi-agensi pemegang taruh yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Masyarakat, persatuan dan pertubuhan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada vaksinasi Covid-19.

“Pada masa yang sama, saya ingin mengumumkan bahawa Sistem Tempahan Janji Temu melalui Aplikasi MySejahtera akan dibuka bagi memudahkan ibu bapa atau penjaga membuat tempahan janji temu,” jelasnya.

Ujar Noor Azmi, sehingga hari ini, 484,639 kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun telah mendaftar di MySejahtera.

Melalui kaedah ini, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta masa vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka.

“KKM mempelawa ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun yang tinggal di Lembah Klang untuk membuat tempahan janji temu untuk anak-anak mereka.

“Pelaksanaan sistem janji temu akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat. Untuk makluman, sistem ini akan dimuat naik di Play Store pada hari ini (Khamis) dan boleh diakses dalam masa terdekat.

“Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil langkah-langkah yang berikut untuk membuat tempahan, iaitu mengemas kini aplikasi MySejahtera dan mendaftar anak-anak sebagai tanggungan (dependent) dalam MySejahtera,” katanya.

Tambah beliau, ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang akan menerima pautan untuk membuat tempahan janji temu dan KKM turut mengalu-alukan pakar kanak-kanak swasta untuk turut menyertai PICKids melalui ProtectHealth Corp sekiranya mereka masih belum terlibat dalam program ini.

Jelasnya, program vaksinasi bagi setiap lapisan umur masyarakat adalah penting untuk membolehkan Malaysia memasuki fasa endemik dan seterusnya pulih sepenuhnya dari impak pandemik Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here