MOSCOW – Rusia pada Rabu mendaftarkan vaksin Covid-19 pertama di dunia dihasilkan untuk haiwan yang disifatkan sebagai langkah penting untuk mengekang mutasi virus tersebut.
Agensi pengawasan pertanian Rosselkhoznadzor berkata, vaksin digelar Carnivak-Cov itu telah diuji ke atas anjing, kucing, cerpelai, musang dan spesies lain sejak Oktober lalu serta terbukti efektif.
“Eksperimen itu menunjukkan kesemua haiwan yang diberikan vaksin itu menghasilkan antibodi secara 100 peratus. Ia adalah vaksin pertama di dunia yang mencegah Covid-19 pada haiwan,” ujar Timbalan Ketua Rosselkhoznadzor, Konstantin Savenkov.
Menurutnya, penghasilan secara besar-besaran akan dibuat bermula April.
“Penggunaan Carnivak-Cov itu dapat menghalang perkembangan virus bermutasi,” jelasnya lagi.
Tambahnya, kemudahan pembiakan haiwan di beberapa negara termasuk Greece, Poland, Austria, Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Singapura telah menunjukkan minat untuk mendapatkan Carnivak-Cov.
Awal minggu lalu, tentera di bandar Saint Petersburg memaklumkan anjing tentera diwajibkan mendapat vaksin sebelum ditempatkan di lapangan terbang dan menyertai sambutan memperingati Perang Dunia Kedua di seluruh negara pada Mei depan.
Pada Ogos lalu, Moscow mendaftarkan vaksin Sputnik V yang didakwa selamat dan lebih 90 berkesan walaupun ia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar kerana proses pendaftaran yang terlalu cepat.
Difahamkan, Rusia masih menunggu kelulusan kelulusan pengawal selia ubat-ubatan di blok Eropah untuk penggunaan Sputnik V di 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU). – AFP