Home Koronavirus Vaksin Covid-19: Sultan Selangor dahulukan petugas barisan hadapan

Vaksin Covid-19: Sultan Selangor dahulukan petugas barisan hadapan

0
Vaksin Covid-19: Sultan Selangor dahulukan petugas barisan hadapan

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima giliran suntikan vaksin Covid-19, hanya selepas semua petugas barisan hadapan termasuk guru mendapat suntikan itu.

Istana Alam Shah dalam satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office pada Jumaat menyatakan, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa keutamaan pemberian vaksin Covid-19 ketika ini harus ditumpukan kepada petugas barisan hadapan berikutan mereka berdepan risiko jangkitan yang lebih tinggi.

Justeru menurut kenyataan itu, baginda akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta duduk di rumah jika tiada urusan di luar, sehingga semua petugas barisan hadapan mendapat suntikan vaksin Covid-19.

“Apa yang penting, baginda berkenan menasihatkan semua rakyat khususnya di Selangor agar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 seperti dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan. Baginda juga mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan kumpulan tertentu yang mendakwa diri mereka sebagai antivaksin.

“Sultan Sharafuddin turut bertitah bahawa usaha kerajaan menerusi pemberian vaksin Covid-19 adalah seiring dengan tuntutan agama, serta amat wajar dilakukan demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, baginda juga mahu rakyat terus mengamalkan norma baharu walaupun telah mendapat vaksin Covid-19 sehingga pandemik itu dapat dikawal sepenuhnya.

Di KANGAR, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta rakyat negeri itu agar tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat mengenai vaksin Covid-19.

“Sebarang masalah atau keraguan, rujuklah kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Jumaat.

Kenyataan itu turut menyebut, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs telah berangkat menyempurnakan pemasyhuran nama baharu Masjid Kampung Perawah Tok Kayaman sebagai Masjid Ali bin Abi Talib.

Watikah pemasyhuran diserahkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid itu, Mardzuki Mahmood. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here