Home Koronavirus Vaksin Covid-19 selamat tiba di lapangan terbang Pulau Pinang

Vaksin Covid-19 selamat tiba di lapangan terbang Pulau Pinang

0
Vaksin Covid-19 selamat tiba di lapangan terbang Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Sebanyak 16,000 dos vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 5.35 petang tadi, menggunakan pesawat khas Pacific Cargo CX079.

Pesawat tersebut berlepas dari Hong Kong, transit di Singapura sebelum tiba di Pulau Pinang dan vaksin itu telah dihantar ke Pusat Simpanan Vaksin (PSV).

Antara orang kenamaan yang menanti ketibaan vaksin tersebut di LTAPP termasuk Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; Ketua Menteri Chow Kon Yeow; Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan.

Ketika dihubungi Bernama Sahabudin berkata, polis Pulau Pinang telah meningkatkan penguatkuasaan dan keselamatan bagi mengiringi vaksin yang tiba di LTAPP hari ini.

Beliau berkata, pasukan formasi khas akan terlibat sepanjang pemindahan vaksin serta penghantaran bahan tersebut ke beberapa lokasi lain di negeri ini, termasuk tempat menjalankan proses vaksinasi kepada petugas barisan hadapan.

“Pegawai dan anggota polis terdiri daripada pelbagai jabatan di negeri ini terlibat dalam mengiringi vaksin tersebut, bagi memastikan ia selamat tiba di lokasi yang ditetapkan tanpa sebarang ancaman dari mana-mana pihak.

“Tiada keperluan untuk menutup jalan bagi perjalanan membawa vaksin, kerana pihak polis terutama pasukan trafik telah bersiap sedia untuk mengiringi kenderaan membawa vaksin berkenaan. Kami (polis) akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, bagi memastikan perjalanan (membawa vaksin) berjalan lancar,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here