Home Koronavirus Vaksin Covid-19: Petugas barisan hadapan pelancongan diutamakan

Vaksin Covid-19: Petugas barisan hadapan pelancongan diutamakan

0
Vaksin Covid-19: Petugas barisan hadapan pelancongan diutamakan

KUALA LUMPUR – Pemberian vaksin Covid-19 untuk petugas barisan hadapan pelancongan menerusi Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dimulakan selepas selesai fasa suntikan anggota barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan untuk memberi vaksin kepada anggota sektor berkenaan yang bertugas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut MOTAC, mereka yang terlibat untuk fasa pertama vaksinasi itu terdiri daripada petugas hotel sebagai Pusat Kuarantin yang berdaftar dengan kementerian serta petugas hotel bukan Pusat Kuarantin tetapi beroperasi sepanjang PKP 3.0 yang berdaftar dengan kementerian itu.

Selain itu, petugas industri penerbangan yang masih bertugas bagi Jun 2021 (Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo) dan petugas acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) juga termasuk dalam fasa itu.

Menurut kenyataan itu, fasa seterusnya akan melibatkan mereka yang berada dalam subsektor lain di bawah MOTAC berdasarkan kepada kelonggaran pengoperasian sektor ekonomi selepas PKP 3.0.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Nancy Shukri berkata, komitmen itu boleh menjadi pemangkin buat industri pelancongan negara untuk kembali bangkit, seterusnya membantu negara dalam mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi.

Sementara itu, MOTAC menerusi agensinya, Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB) berganding bahu dengan pemain industri dalam menawarkan pusat-pusat persidangan dan pameran sebagai PPV untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam negara.

Antaranya ialah Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Pusat Konvensyen Setia Spice, Pusat Konvensyen Seberang Perai Arena, Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah dan Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here