Home Koronavirus Vaksin CanSino untuk penduduk pedalaman Kelantan, orang asli

Vaksin CanSino untuk penduduk pedalaman Kelantan, orang asli

Vaksin CanSino untuk penduduk pedalaman Kelantan, orang asli

KOTA BHARU – Penduduk di kawasan pedalaman dan masyarakat orang asli di Kelantan akan diberikan suntikan vaksin jenis CanSino.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, vaksin jenis dos tunggal itu amat bersesuaian kerana petugas tidak perlu masuk ke kawasan pedalaman dan orang asli sebanyak dua kali bagi tujuan suntikan.

“Untuk makluman, Kelantan akan menerima bekalan vaksin jenis ini bermula bulan depan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa PICK Peringkat Negeri Kelantan, pada Khamis.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah dos tersebut akan diumumkan secara rasmi selepas ini.

Beliau berkata, masyarakat di kawasan pedalaman dan orang asli diharap dapat memberikan kerjasama utuh dalam menjayakan PICK.

Khairy Jamaluddin yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Kelantan berupaya mencapai sasaran imuniti kelompok apabila seramai 1.2 juta rakyat di negeri ini bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Oktober ini.

Katanya, kerajaan pusat turut memberikan jaminan sebanyak 550,000 dos bekalan vaksin akan dibekalkan kepada negeri itu pada bulan depan.

“Sekiranya bekalan vaksin ini tiba tidak lama lagi, golongan dewasa di negeri Kelantan akan dapat disuntik sepenuhnya menjelang Oktober.

“Sehubungan dengan itu, lima buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka di Bachok, Kota Bharu, Machang, Pasir Mas dan Kuala Krai.

“Saya berharap semua penduduk Kelantan menerima vaksin Covid-19 untuk mencapai sasaran imuniti kelompok tidak termasuk golongan diaspora (orang Kelantan yang tinggal di luar),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here