Home Koronavirus Vaksin CanSino untuk pelarian di Malaysia

Vaksin CanSino untuk pelarian di Malaysia

0
Vaksin CanSino untuk pelarian di Malaysia

BUKIT JALIL – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan vaksin jenama Cansino turut diberikan kepada golongan pelarian di negara ini.

Menurut beliau, vaksin yang dijangka tiba pada penghujung Julai itu hanya memerlukan satu dos.

“Ini kerana keadaan komuniti mereka yang sukar untuk kita akses,” katanya semasa sidang akhbar selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pada 17 Jun, Khairy berkata, selain Kelantan dan kawasan pedalaman termasuk penempatan orang asli, kerajaan juga berhasrat membekalkan vaksin satu dos seperti CanSino kepada penduduk di pulau, Sabah dan Sarawak.

Mengulas mengenai PPV Stadium Bukit Jalil, Khairy berkata, sebanyak 10,000 dos akan disuntik kepada penerima setiap hari.

“Kapasiti pada hari pertama (Isnin) ialah 3,000 suntikan dan akan meningkat kepada 50 peratus dalam tempoh tiga hari. Dalam tempoh lebih seminggu akan beroperasi sepenuhnya iaitu 10,000 suntikan.

“Saya ucapkan tahniah kepada yang terlibat kerana tiada masalah besar. Terima kasih juga kepada Perbadanan Stadium Malaysia dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kerana sediakan fasiliti ini,” ujarnya.

Selain itu, Khairy berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu meningkatkan peranan dengan memastikan diskriminasi vaksin tidak berlaku kerana ada beberapa negara Eropah hanya membenarkan vaksin jenama Pfizer dan AstraZeneca sahaja.

“China juga akan terima vaksin daripada China sahaja iaitu Sinovac dan Sinopharm. Dunia perlu bersama, jika vaksin sudah diterima WHO, kita juga kena terima.

“Jika tidak, akan ada negara yang diskriminasi dengan vaksin yang diberi. Ini bukan caranya untuk kita keluar daripada pandemik ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here