Home Koronavirus USIM tangguh pergerakan pulang pelajar ke kampus

USIM tangguh pergerakan pulang pelajar ke kampus

0
USIM tangguh pergerakan pulang pelajar ke kampus

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini menangguhkan semua pergerakan pulang pelajarnya ke kampus selepas cuti Aidilfitri yang sepatutnya dijadualkan bermula pada Rabu sehingga 28 Mei ini.

Pusat Komunikasi Strategik USIM menerusi kenyataan akhbar kepada Sinar Harian berkata, keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di daerah Seremban dan di seluruh negara.

“Penangguhan ini merangkumi semua pergerakan pelajar ke kolej kediaman dan rumah sewa pelajar di USIM sama ada yang pulang ke kampus dengan menggunakan bas yang diuruskan oleh pihak universiti, dihantar oleh ibu bapa atau waris dan menaiki kenderaan sendiri.

“Hanya pelajar yang pulang menaiki kapal terbang sahaja diberi kelonggaran untuk meneruskan perjalanan pulang ke kampus,” kata kenyataan itu.

Pusat Komunikasi Startegik USIM menjelaskan, bagi pelajar yang dikategorikan sebagai pelajar berkeperluan khas yang perlu mengikuti sesi kuliah secara fizikal, mereka dibenarkan pulang ke kampus bermula 29 Mei ini dengan mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu lagi, USIM sentiasa mementingkan keselamatan para pelajar dan berusaha memastikan mereka dapat meneruskan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan baik.

“Pelajar juga perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan sentiasa peka dengan pengumuman daripada pihak USIM dari semasa ke semasa,” kata kenyataan berkenaan.

Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum ini mengambil inisiatif melaksanakan Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 bermula pada 7 Mei hingga 12 Mei 2021 lalu.

Seramai 1,979 pelajar USIM yang berada di kampus terlibat dalam program pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing dengan 538 orang daripadanya dihantar pulang menggunakan kenderaan universiti.

Mengikut perancangan awal, pelajar USIM dibenarkan pulang ke kampus secara berperingkat mulai 17 Mei sehingga 23 Mei ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here