Home Koronavirus Upacara pengebumian cetus kluster Alab Senagang di Tenom

Upacara pengebumian cetus kluster Alab Senagang di Tenom

0
Upacara pengebumian cetus kluster Alab Senagang di Tenom

KOTA KINABALU – Seorang wanita menjadi kes indeks apabila upacara pengebumian ibu mertuanya yang diadakan di rumahnya di Kampung Alab Senagang, Tenom pada 11 Oktober telah mencetuskan Kluster Alab Senagang yang direkodkan pada Jumaat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, wanita tempatan berusia 37 tahun itu, disahkan positif pada 14 Oktober lepas dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam pada hari yang sama.

“Daripada 88 saringan, 50 kes didapati positif termasuk empat kes baharu pada hari ini dan berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan disyaki berpunca daripada upacara pengebumian ibu mertua kepada indeks kes,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Masidi menjelaskan, ibu mertua kes indeks yang meninggal dunia disebabkan Covid-19, telah dibawa balik ke Kampung Senagang pada 11 Oktober lepas dan seramai 20 ahli keluarga dilaporkan berkumpul semasa jenazah dibawa pulang ke rumah kes indeks, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Jumlah kes positif baharu Covid-19 di negeri itu pada Khamis adalah sebanyak 641 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 212,970 kes dengan enam kematian dilaporkan.

Sementara itu, Masidi berkata, kes saringan kontak rapat masih menjadi penyumbang utama kepada jumlah kes harian, namun kes-kes melalui saringan bergejala (sporadik) juga semakin bertambah.

Jelasnya ia merupakan satu isyarat kepada masyarakat agar melipatgandakan usaha menjaga kesihatan diri, serta mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Setiap daripada kita sudah menjadi barisan hadapan, saya menyeru kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, ketua kampung dan pemimpin-pemimpin akar umbi lain, membantu kerajaan memastikan semua penduduk mematuhi SOP di kampung masing-masing,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here