Home Koronavirus Ubat kanser ‘Topotecan’ berpotensi rawat Covid-19

Ubat kanser ‘Topotecan’ berpotensi rawat Covid-19

0
Ubat kanser ‘Topotecan’ berpotensi rawat Covid-19

SINGAPURA – Penyelidikan antarabangsa membabitkan kerjasama penyelidik Singapura dan Amerika Syarikat (AS) mendapati sejenis ubat merawat kanser yang murah dan mudah diperoleh berpotensi untuk digunakan bagi merawat Covid-19.

Dalam ujian pra-klinikal, pasukan itu melaporkan ubat kemoterapi, Topotecan, mengurangkan perkembangan dan bahaya jangkitan SARS-CoV-2 dengan menghalang bengkak pada gen dalam paru-paru model makmal Covid-19.

Dapatan daripada kajian itu yang diterbitkan secara dalam talian jurnal saintifik Cell pada 30 Mac 2021, mempunyai implikasi potensi untuk rawatan Covid-19 pada manusia.

“Dapatan penting daripada kajian ini adalah bengkak akibat SARS-CoV-2 yang disekat menggunakan Topotecan, berlaku pada kadar dos yang lebih rendah berbanding jumlah dos yang digunakan bagi merawat kanser,” kata penulis bersama kajian berkenaan, Dr Anand Jeyasekharan menerusi kenyataan pada Rabu.

Pengarang utama dalam majalah Cell itu adalah Dr Jessica Sook Yuin Ho, penyelidik pasca kedoktoran Singapura di Sekolah Perubatan Icahn. Kajian antarabangsa ini membabitkan kerjasama penyelidik Institut Kanser Universiti Singapura (NCIS) dan Sekolah Perubatan Icahn di Mount Sinai di AS.

Dr Jeyasekharan pula adalah Pakar Perunding dan Penolong Pengarah Penyelidikan (Onkologi Perubatan), Jalatab Heatologi-Onkologi, NCIS.

“Topotecan telah digunakan dalam rawatan onkologi sejak 25 tahun lalu dan penggunaannya yang selamat ke atas manusia sudah difahami meluas dan apa yang penting, ia tidak mahal serta mudah diperoleh seluruh dunia. Kajian ini hadir tepat pada masanya atas alasan kesukaran akses global terhadap vaksin,” katanya.

Beliau berkata, tahap keselamatan dan keberkesanan strategi rawatan ini pada manusia akan dinilai tidak lama lagi di lokasi klinikal di seluruh dunia.

Dr Jeyasekharan dan pasukan NCIS di Singapura sudah pun memperoleh geran penyelidikan untuk melaksanakan fasa pertama ujian klinikal Topotecan ke atas pesakit Covid-19.

Ia disokong Majlis Penyelidikan Perubatan Kementerian Kesihatan Singapura dan Yayasan Penyelidikan Kebangsaan menerusi Dana Penyelidikan Covid-19.

Beliau berkata, matlamat kajian ini adalah bagi menentukan dos Topotecan paling rendah yang selamat digunakan bagi mengurangkan kesan bengkak akibat Covid-19 pada pesakit.

“Sambil meneruskan tema kami iaitu penyelidikan yang boleh digunakan di seluruh dunia, kami bekerjasama dengan jabatan perubatan onkologi Kolej Perubatan Kristian di Vellore, India, bagi mengembangkan lagi ujian,” kata Dr Jeyasekharan.

Dr Jeyasekharan menegaskan, menukar penggunaan ubat sedia ada adalah suatu strategi berharga global untuk merawat Covid-19.

“Meskipun harapan kecil pada beberapa ujian pra-klinikal, namun ia amat bermanfaat kepada pesakit,” katanya.

Topotecan, katanya, adalah calon paling menarik kerana ia selamat, tidak mahal dan formulasi generik ubat ini sudah pun ada di seluruh dunia. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here