Home Koronavirus Tutup premis serta-merta jika tidak benar kakitangan kuarantin

Tutup premis serta-merta jika tidak benar kakitangan kuarantin

0
Tutup premis serta-merta jika tidak benar kakitangan kuarantin

PUTRAJAYA – Tindakan penutupan premis serta-merta akan dikenakan kepada majikan yang tidak membenarkan kakitangan menjalani kuarantin kendiri sementara menunggu keputusan ujian saringan Covid-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, tindakan itu terkandung di bawah syarat Prosedur Operasi Standard Am dan Garis Panduan Am Kebenaran Beroperasi Serta Pergerakan Pekerja Bagi Syarikat-Syarikat Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya, syarat tersebut juga terpakai kepada kakitangan yang menjalani pengasingan secara sukarela selepas mendapati keputusan Covid-19 adalah negatif.

“Jika didapati ada majikan tidak benarkan kuarantin, syarat tersebut menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan kepada kuasa yang diberi boleh mengarahkan penutupan premis serta merta.

“Ketidakpatuhan majikan terhadap syarat pematuhan tersebut hendaklah dilaporkan kepada PDRM” katanya pada sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini pada Isnin.

Perkara 34 syarat tersebut menyatakan sekiranya terdapat pekerja yang berada di bawah pemerhatian KKM atau di bawah perintah pemerhatian di rumah, pekerja terbabit tidak dibenarkan datang bekerja dan perlu menjalani tempoh pengasingan yang ditetapkan oleh KKM.

Syarat itu juga menyebut pihak syarikat perlu membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM dalam melaksanakan pengesanan kontak pekerja yang dijangkiti Covid-19 dan pengurusan kontak manakala pekerja yang berada bawah pemerhatian KKM atau bawah perintah pemerhatian di rumah tidak dibenarkan datang bekerja dan perlu menjalani tempoh pengasingan yang ditetapkan KKM.

Dr Adham berkata, peringatan dibuat berikutan peningkatan kluster jangkitan Covid-19 berkaitan tempat kerja yang menunjukkan trend peningkatan kebelakangan ini, apabila 44 kluster dicatatkan dari 2 hingga 8 Mei berbanding 24 kluster pada tempoh 25 April hingga 1 Mei.

Menurutnya, situasi membimbangkan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 83.3 peratus bagi tempoh tersebut.

Dr Adham berkata, trend peningkatan kes kematian akibat Covid-19 dikesan dalam masa enam minggu iaitu sejak 21 hingga 27 Mac iaitu 22 kes; diikuti masing-masing 35 kes pada dari 28 Mac hingga 3 April dan dari 4 hingga 10 April; 49 kes dari 11 hingga 17 April; 56 kes dari 18 hingga 24 April dan 95 kes dari 25 April hingga 1 Mei.

Sebanyak 1,657 kumulatif kes kematian direkodkan dengan kadar 0.38 peratus pada Sabtu lepas, katanya.

Dr Adham berkata individu yang melakukan ujian saringan RT-PCR Covid-19 sehingga 8 Mei lepas adalah seramai 9.98 juta orang.

Menurutnya, sebanyak 498,193 ujian dijalankan dari 2 hingga 8 Mei berbanding 480,688 ujian dari 25 April hingga 1 Mei, dan kadar individu individu yang dikesan positif dari 2 hingga 8 Mei adalah 5.1 peratus. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here