KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 disaran meneliti semula proses pendaftaran vaksin AstraZeneca secara sukarela, khususnya melibatkan golongan warga emas bagi meningkatkan lagi jumlah kelompok itu yang mendaftar.
Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, langkah ini akan mempercepat proses vaksinasi kepada kumpulan itu, sekali gus membantu mencapai sasaran 80 peratus populasi rakyat divaksin dan mewujudkan imunisasi kelompok.
Beliau berpandangan pendaftaran secara agresif dengan ‘turun padang’ mendekati warga emas dilihat lebih sesuai, kerana golongan itu mungkin berdepan kekangan untuk mendaftar secara dalam talian tanpa bantuan orang lain.
“Dalam keadaan sekarang, kita tak boleh lagi tunggu dan harapkan mereka (warga emas) datang kepada kita untuk daftar vaksin (secara dalam talian), kita sendiri perlu turun padang jumpa dan daftarkan mereka, khususnya bagi mereka yang tiada akses pendaftaran dalam talian.
“Kaedah lain, pendaftaran juga boleh dibuat ketika mereka hadir ke hospital atau klinik untuk pemeriksaan kesihatan. Ini boleh percepatkan proses pendaftaran vaksin dan usaha itu boleh melibatkan kerjasama pihak swasta (hospital),” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau mengulas mengenai proses pusingan kedua tempahan pengambilan vaksin AstraZeneca secara sukarela khusus untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas semalam, yang dikatakan agak perlahan dan kurang mendapat sambutan berbanding pendaftaran pusingan pertama pada 2 Mei lalu.
Dr Malina turut menyarankan agar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) diperbanyak bagi memudahkan orang ramai memilih lokasi yang berdekatan dengan kediaman mereka dan mudah diakses, khususnya oleh warga emas di luar bandar.
Selain itu, katanya, pendedahan kepada umum tentang peratusan slot janji temu yang masih kosong setiap 24 jam juga perlu dilakukan bagi membolehkan mereka menempah slot yang tersedia.
Pakar kesihatan awam itu juga berpandangan persepsi penerimaan vaksin dalam kalangan warga emas didorong oleh masyarakat sekeliling, yang mana ahli keluarga khusunya, berperanan meyakinkan ibu bapa mereka tentang kepentingan mendapatkan vaksin Covid-19.
“Dengan situasi wabak yang kembali memuncak ketika ini, kita perlu percepatkan proses imunisasi ini termasuk PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) dan kita juga tidak boleh menafikan ramai rakyat Malaysia yang mahu divaksin dan masih menanti giliran mereka,” tambahnya.
Pendaftaran pusingan kedua bagi menerima vaksin AstraZeneca secara sukarela dibuka pada Ahad hingga Rabu (26 Mei) ini kepada penduduk di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak dengan keutamaan kepada mereka yang berusia 60 ke atas, manakala pendaftaran bagi mereka yang berumur 60 tahun ke bawah adalah pada tarikh berikutnya.
Setakat 12 tengah hari pada Isnin, di Selangor, slot tarikh janji temu bagi tarikh 7 Jun hingga 22 Jun dan 26 Jun di PPV Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan 7 hingga 22 Jun bagi PPV Ideal Convention Center Shah Alam telah habis ditempah.
Turut habis ditempah ialah slot 7 dan 8 Jun bagi PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan 7 hingga 16 Jun di PPV Dewan 1, Bangunan Peperiksaan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Di Johor, tarikh 7 hingga 14 Jun bagi PPV Persada Johor International Convention Center (PJICC); 7 hingga 13 Jun di Spice Arena Convention Centre, Bayan Baru (SPICE), Pulau Pinang dan 7 hingga 9 Jun di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak juga telah habis ditempah. – Bernama