Home Koronavirus Tunku Azizah mahu belia bantu dunia harungi Covid-19

Tunku Azizah mahu belia bantu dunia harungi Covid-19

0
Tunku Azizah mahu belia bantu dunia harungi Covid-19

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah bahawa golongan muda harus berani dan memulakan inisiatif bagi membantu memulihkan dunia kepada keadaan yang lebih baik dalam mengharungi pandemik Covid-19.

Bertitah pada Global Youth Mobilisation secara maya pada malam Sabtu, Seri Paduka berpandangan golongan muda harus diberi peluang dan sokongan untuk memainkan peranan mereka sebagai warga dunia yang aktif menyumbang.

Titah baginda, golongan muda bersemangat, berbakat serta kreatif dan penularan pandemik itu menunjukkan bahawa mereka juga panjang akal untuk terus belajar dan menyesuaikan diri sekalipun berdepan gangguan besar dalam pendidikan mereka.

“Kita telah lihat golongan muda melakukan kerja sukarela, menyokong petugas barisan hadapan, membangkitkan kesedaran awam dan paling tidak, menjadi warga yang bertanggungjawab dengan mematuhi garis panduan pencegahan penularan Covid-19.

“Kita juga telah melihat usaha pertubuhan belia seperti yang dilakukan oleh Big 6 dalam memastikan pembelajaran orang muda tidak terhenti di sebalik segala gangguan itu,” titah baginda dalam video bersempena Global Youth Mobilisation.

Tunku Azizah turut menzahirkan rasa gembira diundang bertitah pada Global Youth Mobilisation, satu inisiatif oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Big 6 Youth Organisations dan sebagai ahli Pandu Puteri dan Pengakap Puteri serta selaku Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia, baginda bangga menjadi sebahagian daripada inisiatif itu.

“Beta juga mengucapkan tahniah kepada WHO dan Big 6 Youth Organisations kerana proaktif dalam mengiktiraf maklum balas positif bahawa orang muda boleh menyumbang kepada usaha menangani pandemik Covid-19 dan memainkan peranan aktif dalam usaha pemulihan dengan mewujudkan platform ini serta sumber untuk menyokong mereka,” titah baginda.

Tunku Azizah turut menggesa semua kerajaan, perniagaan dan komuniti menyokong golongan muda menerusi inisiatif Global Youth Mobilisation itu.

Sementara itu, Seri Paduka bertitah pendidikan tidak formal telah diterima guna untuk dilaksanakan oleh golongan muda di rumah dan secara maya.

Malah titah baginda, lebih banyak hubungan antarabangsa yang menyumbang kepada persefahaman dan keamanan dunia berlaku melalui program dan acara maya melibatkan golongan muda dari pelbagai negara pada masa ini.

“Kami sangat bangga apabila dua ahli Pandu Puteri dari Malaysia dapat berucap pada forum kesaksamaan generasi di Mexico kerana kalau pada hari-hari biasa, usaha ini akan melibatkan kos yang banyak untuk membawa mereka ke sana.

“Memetik Mia Arissa, ahli Pandu Puteri berusia 11 tahun dari Malaysia yang berucap pada forum itu baru-baru ini: ‘Kami merupakan pelaburan tanpa perbelanjaan. Jangan pandang rendah potensi kami hanya kerana kami dianggap muda. Anak gadis juga boleh lakukan banyak perkara jika diberikan peluang berbuat demikian’,” titah baginda. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here