Home Koronavirus Tujuh PPV hospital swasta beroperasi 1 Jun

Tujuh PPV hospital swasta beroperasi 1 Jun

0
Tujuh PPV hospital swasta beroperasi 1 Jun

JOHOR BAHRU – Sebanyak tujuh Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) akan terlibat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di seluruh Johor, bermula 1 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, ia melibatkan empat PPVHS di daerah Johor Bahru dan masing-masing satu PPVHS di daerah Kluang, Batu Pahat dan Muar.

“PPVHS di hospital swasta ini akan memberi antara 250 hingga 1,000 dos vaksin Covid-19 seminggu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di klinik swasta atau dikenali sebagai Pusat Pemberian Vaksin General Practitioner (PPVGP) pula telah bertambah sebanyak enam sejak 5 Mei lalu iaitu lima PPVGP di daerah Johor Bahru dan satu di Batu Pahat.

“Pertambahan lima klinik swasta ini menjadikan 43 PPVGP beroperasi di seluruh negeri ini terlibat dengan program imunisasi itu. PPVGP di klinik swasta ini akan memberi antara 36 hingga 90 dos vaksin Covid-19 seminggu, bagaimanapun dos ini bergantung kepada pilihan kapasiti klinik masing-masing,” katanya.

Menurut Vidyananthan, pengamal perubatan swasta di bawah kendalian ProtectHealth yang terlibat dengan program itu dilarang untuk mendapatkan senarai nama penerima vaksin dengan mengiklankan dalam media sosial atau aplikasi pesanan ringkas seperti WhatsApp, kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.

ProtectHealth adalah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang tidak berasaskan keuntungan. Ia menyelaras, mentadbir dan menguruskan inisiatif berkaitan pembiayaan perkhidmatan penjagaan kesihatan seperti yang diamanahkan oleh KKM.

Sementara itu, Vidyananthan menjelaskan, setakat ini Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah menyediakan 26 lokasi PPV iaitu enam di daerah Johor Bahru diikuti daerah Kota Tinggi dan Mersing masing-masing tiga PPV serta daerah Batu Pahat, Kluang, Muar, Pontian, Segamat, Kulai dan Tangkak masing-masing dua PPV.

Johor merekodkan 549 kes baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negeri ini sebanyak 56,231 kes dengan 246 kematian dicatatkan.

Sehingga semalam, Johor mencatatkan 96 kluster aktif Covid-19 melibatkan 44 kluster komuniti, 30 kluster industri, 15 kluster institusi, empat kluster tahanan, dua kluster pasar raya dan satu kluster import. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here