Home Koronavirus Tokoh Maal Hijrah Sabah ajak rakyat jauhi amalan rasuah

Tokoh Maal Hijrah Sabah ajak rakyat jauhi amalan rasuah

0
Tokoh Maal Hijrah Sabah ajak rakyat jauhi amalan rasuah

KOTA KINABALU – Tokoh Maal Hijrah Sabah Datuk Jasri @ Nasip Mat Jakir mengajak semua rakyat khususnya penjawat awam di negara ini menjauhi amalan rasuah dan salah guna kuasa bagi memastikan keharmonian Malaysia terus terjaga.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah itu berkata, semua rakyat perlu tahu bahawa rasuah dan salah guna kuasa adalah amalan keji yang boleh memusnahkan masa depan bangsa dan keharmonian negara.

“Marilah kita sebagai rakyat Malaysia bersatu hati menolak amalan rasuah…rasuah tidak akan terjadi sekiranya tiada yang memberi dan menerima.

Namun salah guna kuasa boleh terjadi apabila kita berkuasa…namun apa yang penting kita perlu menjaga amanah yang diberi dengan penuh integriti.

“Pada masa kini banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh penjawat awam khususnya gejala rasuah dan kita perlu tangani masalah berkenaan dengan lebih serius demi masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Sabah daripada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada majlis sambutan berkenaan di sini hari ini dan turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulas mengenai penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Sabah, Jasri berkata ia adalah pengiktirafan kepada semua penjawat awam khususnya dalam bidang kehakiman yang telah melaksanakan kerja dengan penuh amanah.

“Banyak lagi individu lain yang boleh menerima anugerah ini.

Namun saya berterima kasih dan bersyukur dengan pengiktirafan ini dan saya berharap penjawat awam yang masih menjalankan amanah dapat menamatkan perkhidmatan dengan cemerlang,” katanya yang telah bersara wajib baru-baru ini.

Sementara itu, Hajiji ketika berucap pada majlis itu berkata umat Islam di negeri ini diminta sentiasa berusaha meningkatkan potensi dan kualiti segenap aspek bagi mencapai kecemerlangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

“Walaupun peristiwa hijrah Rasulullah kini hanya tinggal nostalgia untuk diambil pengajaran dan iktibar, namun semangat hijrah dan keperluan untuk melakukan perubahan serta pembaharuan ke arah kebaikan sentiasa relevan, terutama ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19.

“Dalam mendepani senario yang amat mencabar masa kini, kita tidak boleh lari daripada fokus memelihara perpaduan rakyat, meningkatkan ekonomi dan membangunkan modal insan bagi meneruskan pembangunan di negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap supaya generasi muda yang bakal mencorak masa depan akan terus melakukan yang terbaik dalam memikul amanah sebagai warga yang menjunjung tuntutan agama, bangsa dan negara. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here